Muktamar PAS Ke-72 : Fokus Persiapan PRU-16

21

KUALA TERENGGANU — Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 (PRU-16) menjadi antara fokus utama PAS pada muktamar kali ini, termasuk memperkukuh jentera pilihan raya serta merangka pendekatan baharu bagi menghadapi perubahan landskap politik dan pola pengundian.

Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad berkata, selain persiapan PRU-16, perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan politik di Malaysia serta memastikan PAS mempunyai kekuatan tersendiri meskipun bekerjasama dengan pihak lain.

Menurut beliau, kekuatan parti penting bagi memastikan PAS terus dihormati dalam sebarang kerjasama politik.

“Apabila kita kuat, orang hormat. Kalau kita lemah, orang tidak hormat kita,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, isu semasa termasuk dakwaan mengenai kegagalan Kerajaan Perpaduan dan Pakatan Harapan dijangka turut dibincangkan oleh para perwakilan sepanjang muktamar.

Dalam pada itu, Idris berkata, pendekatan PAS untuk menghadapi PRU-16 dijangka berbeza berbanding pilihan raya terdahulu berikutan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pengaruh media sosial.

Katanya, perkembangan berkenaan memerlukan jentera penerangan dan pilihan raya parti menyesuaikan strategi bagi memastikan mesej perjuangan PAS dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada pengundi.

“Wujudnya Kecerdasan Buatan (AI) dan penerangan media sosial yang begitu cepat pada kali ini, maka tentulah fokus kita ke arah itu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menegaskan peranan golongan muda khususnya Gen Z tidak boleh dipandang ringan kerana kelompok itu semakin menjadi faktor penting dalam menentukan landskap politik negara.

Tambah beliau, pendekatan PAS perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik sokongan golongan di luar parti, khususnya pengundi muda yang dilihat tidak semestinya terikat dengan pilihan berdasarkan parti.

“Mereka ini bukan orang yang ada parti, tetapi mereka menegakkan idealisme perjuangan dan pilihan mereka juga kebanyakannya bukan lagi berdasarkan parti.

“Mungkin mereka akan pilih dari segi tokoh, prestasi dan integriti,” tambah beliau.

Sehubungan itu, Idris berkata, jentera Pemuda PAS perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendekati kelompok pengundi muda serta memahami kecenderungan baharu mereka menjelang PRU-16.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh berharap Muktamar PAS kali ke 72 menjadi medan penting untuk mencetuskan idea serta cadangan yang bernas demi kemajuan parti dan kepentingan rakyat Malaysia.

Menurutnya, perbahasan yang dibawa oleh perwakilan daripada negeri-negeri dan Dewan-Dewan PAS perlu dimanfaatkan bagi menghasilkan pandangan dan cadangan yang mampu memperkukuh parti.

“Semoga muktamar ini berjalan dengan lancar, teratur dan diterima Allah sebagai amal soleh.

“Semoga perbahasan daripada negeri-negeri dan Dewan-Dewan akan menghasilkan idea serta cadangan yang bernas dan baik untuk kemajuan parti dan rakyat Malaysia,” katanya.