Muktamar PAS Ke-68; Parti Lebai Ke Koridor Kuasa

207

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Muktamar PAS dengan seribu tarikan pesona , bukan sekadar gumpalan idea dan membahas ucapan dasar serta mengoreksi perjalanan jamaah dalam setahun ini namun lebih utama ialah merimbun ukhuwwah para amilin tanpa mengira harkat sosial. Gerakan Islam tertua negara ini adalah wadah himpunan jiwa dan nurani yang cintakan Islam, mencari matlamat selain itu hanya fatamorgana! . Sejak malam 31 Ogos ,hati berbunga bahagia melihat guratan wajah teman- teman yang sangat ceria disekitar Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut pada malam Himpunan Ulama PAS Kedah. Wajah bersih tuan-tuan guru dan santri , kelompok teras dalam PAS melantunkan selawat, bermunajat agar perjalanan Muktamar dan harakatul ummah ini sentiasa dipayungi rahmat Yang Esa.

Deretan gerai jualan memintal ingatan akan kerinduan majlis-majlis ceramah umum PAS serta muktamar PAS sebelum era pandemik. Wabak kovid yang membuana juga telah meragut ramai amilin PAS termasuk almarhum Ustaz Rizuan Rahmat, mendiang Kumutha Raman, almarhum Cikgu Raja Ismail dan lain- lain lagi. Lebih dua tahun kita tidak menganjurkan ceramah terbuka, juga Muktamar PAS yang sepi tanpa gerai- gerai jualan berdesakan, pastilah apa yang terhidang di sekitar kompleks PAS Kedah ini sangat menggiurkan.

Negeri yang sarat dengan sejarah PAS itu ialah antara negeri yang diperintah oleh PAS selepas kocakan politik pasca kejatuan PH diperingkat persekutuan. Negeri jelapang padi ini yang sarat dengan jajaran sekolah agama rakyat serta para alim ulama ini membekalkan dorongan kepada pendokong PAS yang kental serta tahan uji. Masjid surau negeri ini juga kelihatan agak meriah dengan majlis ilmu, ilmuan Islam, cendekia Islam yang sentiasa memeriahkan daurah kitab, majlis cintai rasul SAW, diskusi ilmu dan pelbagai program mencerahkan akal ummat.

Seorang mantan MB Kedah daripada BN pernah menyebut tentang korelasi antara “padi, pondok dan PAS” dan beliau merujuk kepada fenomena kekuatan PAS di negeri jelapang padi ini. Sifirnya mudah, pesawah-pesawah membayar zakat padi kepada para asatizah yang membina institusi pendidikan Islam. Guru-guru agama dan para santri inilah yang menyebarkan pengaruh PAS keseluruh sektor dan sendi masyarakat. Tuan guru pondok menjadi penebar pesona kerana khidmat mereka pada masyarakat seperti mengendalikan majlis tahlil,tahnik, doa selamat,solat jenazah dan lain-lain acara kemasyarakatan.

PAS dijoloki sebagai parti pak lebai memang sinonim dengan institusi pendidikan Islam, termasuk di negeri Kedah. Tuan Guru Othman al Yunusi telah menubuhkan PAS pada 6 september 1952 di Madrasah an Nahdah Bukit Besar, dengan dokongan agamawan dan para asatizah. Semenjak awal PAS berkubu di pondok dan Sekolah Agama Rakyat di seluruh negeri Kedah. Cawangan pertama PAS di Kedah ialah di Bukit Besar, manakala tokoh muda PAS seperti Ustaz amaluddin Darus telah berusaha untuk mengembangkan PAS di negeri Kelantan. Almarhum Ustaz Amaluddin juga telah menemui guru-guru pondok di Kelantan untuk menerangkan nuansa perjuangan PAS sehingga Kelantan menjadi pengkalan kuasa kepada PAS semenjak dekad 1950an.

Berbeda dengan Terengganu ataupun Kelantan, Kedah agak unik dengan pengaruh PAS apabila berkubu kuat di kawasan agrarian, dimana institusi pondok dan sekolah agama rakyat berfungsi untuk mencerdaskan rakyat. Manakala di Terengganu dan Kelantan pula, semakin terperusuk jauh di pedalaman maka UMNO semakin bertakhta merantai fikiran dan akal budi rakyat.

Pada tahun 1980 pula, regim BN telah menahan pimpinan pemuda di kedah akibat demonstrasi padi. Antara yang ditahan ialah Ustaz Abdul Halim Arsyad, Ustaz Othman Marzuki, Haji Rafie, Haji Salahudin Mansor dan lain-lain tokoh pemuda PAS.

Kedah memahat sejarah dengan pembunuhan aktivis PAS, Ustaz Othman Talib pada tahun 1985 di Felda Lubuk Merbau, Padang Terap dalam Pilihanraya Kecil. Pada 19 November 1985 Tragedi Memali telah mencuri lensa berita dalam dan luar negara. 14 orang ahli-ahli PAS telah dibunuh termasuk Ustaz Ibrahim Mahmud dalam peristiwa berdarah yang kekal menjadi bagasi sejarah kepada BN.

PAS kedah terus bangkit mempersada perjuangan, menyemarakkan jihad ta’lim seperti suburnya jaringan sekolah rendah SRIDU. Pimpinan PAS Kedah iaitu Almarhum Ustaz Fadhil Noor yang terinspirasi dengan kompleks Jamiat Islami di Pakistan maka lahirlah Muassasah Darul Ulum di Pokok Sena. Kolej Islam Darul Ulum adalah lambang kesungguhan Perhubungan PAS Kedah untuk mencetak generasi kepimpinan dan keseriusan membina perkaderan.

Usaha membina Muassasah Darul Ulum dibayar dengan harga yang sangat mahal termasuk dengan tangkapan ISA yang dikenali sebagai Operasi Kenari pada tahun 1988. Aktivis PAS Kedah terus bangkit melebarkan pengaruh perjuangan Islam, sehinggalah pada tahun 2008, PAS Kedah telah berjaya merengkuh kekuasaan.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato Seri Azizan Razak telah dilantik sebagai MB Kedah yang kesepuluh. Almarhum dalam tempoh sepenggal pemerintahan telah berjaya melakarkan pelbagai kejayaan yang sangat manis. Antaranya pemerkasaan pendidikan tinggi, pengupayaan ekonomi walaupun negeri ini terhad dengan sumber khazanah. Di zaman almarhum, PAS Kedah dibawah kepimpinannya telah membeli 11 relung tanah di kawasan Kota Sarang Semut. Curahan infak daripada amilin PAS kedah menyaksikan sebuah kompleks serba lengkap termasuk Dewan Fadhil Noor yang menjadi tempat memerah akal selama dua hari ini.

Jawatankuasa kerja PAS Pusat telah diberikan penghormatan untuk mengadakan Mesyuarat khas pada malam 2 September, menikmati euforia gembira memerah akal di bilik mesyuarat Tan Sri Azizan Razak yang kelihatan bersih dan elegan menikut piawaian antarabangsa. Tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato Ahmad Ya, DS Haji Sanusi Mohd Nor dan seluruh pimpinan serta panitia Muktamar PAS ke 68.

Pagi yang indah , majlis perasmian Muktamar serta pengucapan dasar Presiden PAS turut dihadiri oleh para tetamu jemputan seperti TS Muhyiddin Yassin, pimpinan gerakan Islam daripada HAMAS, Jihad Islam Palestin, Parti Saadet Turki, PKS dan PPP daripada Indonesia, Jamieyyah Ulama Pattani, Jamiat Islami Pakistan, Persatuan Islam Vietnam dan lain-lain tetamu. Melihat kemeriahan muktamar ke 68 , bermula dengan acara perasmian yang gemilang yang disoroti media dalam dan luar negara, insyaallah PAS akan melebarkan sayap dikoridor kuasa Putrajaya ,bukan sahaja berkuku dikawasan ” malay belt” dalam PRU 15 ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI).