Mukhriz Masih Tidak Sedar, Masih ‘Mamai dan Mamun’…….

1006

Tidak ada sesiapa yang menghalang kerajaan membangunkan DUN Sungai Limau, samada PAS atau rakyat yang menjadi pengundi.

Menteri Besar Datuk Mukhriz disifatkan masih dalam keadaan ‘mamai’ dan ‘mamun’ kerana mengulang-ulang kenyataan yang sama dan berjanji mahu menjadikan DUN Sungai Limau sebagai DUN angkat.

“Datuk Mukhriz masih belum sedar, sebelum ini (sejak pilihanraya umum ke -13) beliau sudah menjadi Menteri Besar tetapi tidak pernah berjanji mahu menjadi ‘Bapa angkat’,
“beliau sebagai MB sepatutnya bertanggungjawab membangunkan seluruh negeri Kedah, beliau tidak boleh membuat kenyataan sedemikian,

“seolah-olah satu ugutan, sekiranya PAS menang, tidak akan ada pembangunan dalam DUN Sungai Limau,”tegas Pengarah Jawatankuasa Induk PRK DUN Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata demikian pada siding media harian PAS yang diadakan di markaz induk PRK Sungai Limau pada Sabtu 2 November.

Sehubungan itu, ucapan Mukhriz yang berkata soal subsidi padi adalah satu perkara yang kecil mengecewakan rakyat dan pengundi DUN Sungai Limau.

Seorang pesawah padi, Ahmad Muhamad berkata, para petani mahukan subsidi yang lebih tinggi supaya para petani boleh menambah keuntungan.

Beliau berkata, para petani menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga barang, dan terus menghadap kesusahan sekiranya subsidi tidak dinaikkan.

Seorang lagi pesawah padi yang tidak mahu dikenali berkata, kerajaan boleh dengan mudah menarik balik subsidi gula dan sekaligus meningkatkan harga gula, untuk menyelamatkan kerugian bagi pihak kerajaan.

Sebaliknya, mengapa kerajaan begitu susah untuk menaikkan subsidi padi, yang akan memberikan keuntungan kepada rakyat.

Justeru, katanya, mana yang lebih diutamakan, kerajaan atau rakyat?