Muhyiddin perlu bersihkan namanya

833

Dalam hal ini, TPM perlu membersihkan namanya dengan bersikap berani dan telus menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut. Beliau tidak perlu menyembunyikan kebenaran sekalipun kebenaran itu amat pahit untuk ditelan kerana melibatkan orang kepercayaan beliau

Jika benar dakwaan tersebut, beliau perlu mengambil tindakan tegas terhadap setiausaha sulit kanannya. Ini sebagai suatu hukuman bahawa kedudukan sebagai orang penting dan di tempat strategik bukan boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Ia juga sebagai peringatan bahawa amanah bukan suatu yang boleh dipandang ringan, melainkan ia perlu ditunaikan dengan sebaiknya.

Jika dakwaan tersebut pula tidak benar, TPM perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar dakyah tersebut. Fitnah dan spekulasi tidak boleh dibiarkan berleluasa oleh pihak tertentu yang dengki kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang. Budaya fitnah adalah budaya yang tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara ini.

DPP Malaysia mengingatkan bahawa isu rasuah dan penyelewengan kuasa merupakan teras terhadap kejayaan atau kegagalan kepemimpinan negara. Pemimpin yang berjaya bukan setakat diukur terhadap prestasi kerjanya semata-mata, lebih dari itu bagaimana pemimpin tersebut menunaikan amanah yang dipikulnya sebaik mungkin.  Ini termasuk mereka yang terlibat secara langsung sebagai pembantu dan pegawai pemimpin tersebut. Seseorang pemimpin akan dianggap gagal sekiranya beliau dan orang bawahannya terkait dengan pelbagai skandal yang memburukkan nama beliau dan parti pimpinannya meskipun hasil kerjanya cemerlang.

DPP Malaysia percaya rakyat Malaysia inginkan pemimpin negara yang benar-benar bersih, jujur dan ikhlas dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti terhadap rakyat dan negara. Sebaliknya rakyat jemu dan benci terhadap pemimpin yang mengharapkan sokongan rakyat, tetapi akhirnya mengaut keuntungan dan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia