KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan kerjasama strategik antara Perikatan National (PN) dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai usaha menyatukan kekuatan politik orang Melayu bagi menamatkan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Riduan Md Noor, berkata kerjasama tersebut dipersetujui selepas melalui perbincangan bersama kepimpinan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menolak dakwaan kononnya PAS tidak berbincang dengan BERSATU mengenai strategi berkenaan.
Menurut beliau, dakwaan tersebut merupakan usaha pihak tertentu untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap PAS.
“Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara. Sebab itu tidak pelik apabila segala isu berkaitan Islam dan PAS terus diserang serta dihujat oleh pesaing politik.
“Lihat sahaja isu PRN Negeri Sembilan. PAS dituduh tidak berbincang dengan BERSATU, sedangkan tuduhan itu hanyalah agenda beberapa kerat pimpinan tertentu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dr Riduan berkata, PAS dan PN melihat pemuafakatan dengan BN sebagai langkah strategik bagi memastikan PH tidak terus mentadbir Negeri Sembilan.


Beliau turut mendakwa PAS kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah pencapaian politiknya, sekali gus menjadikan parti itu sasaran serangan lawan politik setiap kali timbul isu berkaitan Islam.
Menurutnya, lebih tujuh dekad perjuangan PAS dan UMNO telah mewarnai landskap politik orang Melayu, selain kedua-dua parti menjadi antara rujukan gerakan Islam di negara ini.
Dalam pada itu, beliau mengkritik PH yang didakwanya lebih banyak menumpukan kempen menyerang PAS berbanding mengetengahkan tawaran kepada rakyat, walaupun PAS hanya bertanding di lima kerusi dalam PRN Negeri Sembilan.
“Walaupun PAS hanya meletakkan lima calon, PH lebih banyak berkempen memburukkan PAS berbanding menjelaskan aspirasi perjuangan politik mereka kepada pengundi,” katanya.
Beliau menambah, PAS akan terus mempertahankan budaya membuat keputusan secara berdisiplin dan terbuka serta menerima kritikan demi memperkukuh organisasi parti.





























