MOTAC Perlu Jelaskan Isu Penyajian Arak Dalam Majlis Kerajaan

180
To’ Puan Hajah Zarani Othman

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menegaskan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu segera memberikan penjelasan terbuka dan memohon maaf berhubung dakwaan penyajian arak dalam majlis gala rasmi Global Travel Meet 2025.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, tindakan tersebut mencemarkan imej kerajaan, menyalahi prinsip sensitiviti agama serta bertentangan dengan pekeliling rasmi kerajaan yang sejak 1970-an telah menghentikan amalan itu.

“Sejarah mencatatkan bahawa sejak tahun 1970-an, kerajaan telah menghentikan amalan penyajian arak dalam majlis rasmi demi menghormati tuntutan agama dan sensitiviti masyarakat Islam. Maka, sebarang cubaan menormalisasi kembali amalan ini amat dikesali.” tegas beliau

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, pada hari ini.

Zarani menegaskan, Islam jelas mengharamkan arak kerana ia memudaratkan akal, jasad dan masyarakat,

Justeru itu, katanya, majlis rasmi kerajaan sepatutnya mencerminkan nilai hormat semua pihak, bukan mengundang kontroversi yang boleh menggugat keharmonian nasional.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua agensi kerajaan memastikan setiap majlis rasmi bebas daripada minuman beralkohol dan sebaliknya menampilkan budaya sopan, sihat serta menghormati kepelbagaian agama.