Mohd Harun Ketua Pemuda PAS Terengganu Baharu

335

HULU TERENGGANU – Mohd Harun Esa sebulat suara dipilih sebagai Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) bagi penggal 2021-2023 berkuatkuasa hari ini.

Mohd Harun diisytiharkan menang tanpa bertanding pada Muktamar Pemuda PAS Terengganu Kali Ke-52 di Markas Tarbiyah Kubang Lembek Manir.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Pilihanraya DPPNT menggantikan Ustaz Mohd Nasir Abdul Razak yang mengumumkan tidak bertanding.

Dalam ucapan pertamanya sebagai Ketua Pemuda, Mohd Harun berkata, lantikan itu bukan satu perkara yang perlu dibanggakan sebaliknya merupakan bebanan.

“Jawatan ini merupakan satu amanah yang sangat besar untuk mengemudi pemuda Terengganu, ini bukan kegembiraan.

“Tugas berat menanti saya untuk mendidik anak muda dengan politik Islam,” katanya.

Bagi posisi Timbalan Ketua DPPNT, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menang tanpa bertanding bagi jawatan tersebut, manakala Naib Ketua disandang oleh Ustaz Mohd Hamdi Harun.

Muktamar pemuda PAS Terengganu yang berakhir sebentar tadi hangat dengan beberapa isu terutamanya mengenai peranan PAS sebagai kerajaan dan undi 18 tahun.