Misi GSF Medan Ujian Iman Dan Kesatuan Umat

66

KUALA NERUS, – Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza bukan sekadar perjalanan kemanusiaan, tetapi medan ujian keimanan dan kesatuan umat, kata aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi, yang baru pulang daripada misi bantuan ke Palestin bersama rakan-rakan sukarelawan antarabangsa.

Menurutnya, walaupun perjalanan itu penuh risiko, Allah telah mengizinkan mereka melihat sendiri bagaimana dunia bangkit bersama perjuangan Gaza, terutama apabila tiba semula di tanah air.

“Ramai rakyat Malaysia tidak tidur malam, mereka mendoakan kami. Itulah kekuatan sebenar, doa dan sokongan umat Islam yang tidak pernah padam,” katanya.

Heliza turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat rakyat Palestin yang tetap teguh walau diuji selama 77 tahun.

“Kami sebenarnya tidak kuat, tapi kami meminjam kekuatan mereka. Allah simpan kisah ini untuk zaman kita supaya kita tidak leka dan tenggelam dengan dunia,” jelasnya ketika ditemui pihak media selepas program Hari Sayyidatina Aisyah di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah, di sini, pada Ahad lalu.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan Palestin bukan hanya isu politik, tetapi perjuangan menentang kelalaian dan hawa nafsu, dalam usaha mengejar akhirat dan syurga.

Justeru itu, Heliza menyeru seluruh umat Islam agar tidak berhenti berjuang dan terus menyumbang untuk Gaza, sama ada dengan doa, sumbangan atau kesedaran.

“Kehidupan ini sendiri satu perjuangan. Allah jadikan Palestin untuk membentuk kita jadi kuat seperti mereka,” katanya.

Beliau berharap agar suatu hari nanti lebih ramai rakyat Malaysia dapat menjejakkan kaki ke bumi Gaza dan menyaksikan sendiri akhlak mulia rakyat Palestin yang menjadi contoh kepada dunia.

Sementara itu, Nur Hazwani Afiqah menceritakan pengalaman getir sebagai wanita Muslim di atas kapal flotilla, termasuk cabaran menjaga aurat berhadapan dengan tentera Israel (IOF).

“Cabaran terbesar ialah soal aurat. Bila kami ditahan, kami sedar betapa nikmatnya dapat menutup aurat di Malaysia. Di penjara, bila diberi izin pakai tudung, itu nikmat yang kami sangat syukuri,” katanya sebak.

Beliau menegaskan bahawa isu Palestin bukan soal lelaki atau wanita, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan semua berganding bahu.

“Kalau wanita tidak pergi sendiri, kita takkan faham penderitaan wanita Palestin. Mereka diuji setiap hari, tapi tetap tabah,” ujarnya.

Dalam masa sama, ayahnya,Helmi hasbi,68, berkata, kekuatan dan keberanian anak-anak tidak datang secara tiba-tiba, sebaliknya lahir daripada didikan kasih sayang dan akhlak sejak kecil.

“Kalau seorang ibu tanam kasih sayang dari kecil, insya-Allah anak itu akan membesar menyayangi orang lain. Kasih sayang inilah asas keberanian,” katanya.

Menurutnya lagi, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik dalam akhlak, kerana daripada situlah terbentuknya jiwa besar dan keyakinan diri anak-anak.

“Sebagai manusia tentu kita ada keperluan dan kehendak kita contohnya kita beli kereta , kehendak kita beli kereta tapi kemalangan adakah kita pasti kita akan selamat

“Begitu juga dengan nyawa. Sorang takkan jadi pilot , kalau tahu kapal terbang jatuh tapi kerana dia jadi pilot ramai yang dapat faedah daripada situ. Jadi segala-galanya bergantung pada niat. Saya yakin Allah swt tak zalim. mati itu pasti dan kekuatan itu mesti daripada kasih sayang sejak kecil.

. “Kalau anak dilatih dengan akhlak sejak kecil, ke mana pun dia pergi, kita tak risau. Sebab akhlaknya yang akan jaga dia,” jelasnya.