KUALA TERENGGANU – 14 orang perwakilan PAS Kawasan Setiu ke Muktamar Tahunan Pusat membawa misi besar untuk memperkukuh perjuangan dan memperhalusi hala tuju organisasi dalam suasana politik negara yang semakin mencabar.
Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Zul Bhari Abdul Rahman, berkata, muktamar adalah medan yang sangat penting bagi merencana masa depan perjuangan Islam, selain menjadi pentas muhasabah untuk menambah baik perjalanan parti.
“Muktamar PAS Pusat adalah satu agenda besar dalam merencana masa depan perjuangan.
“Ia juga medan muhasabah untuk menilai serta memperbaiki perjalanan organisasi agar lebih tersusun dan berkesan,” jelasnya ketika dihubungi, hari ini.
Ustaz Zul Bhari turut menegaskan bahawa kehadiran PAS Setiu kali ini bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, tetapi membawa semangat iltizam yang tinggi dalam menghadapi realiti politik semasa yang semakin menghimpit.
Selain perwakilan kawasan, Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Ameerah Kawasan Setiu turut sama menghantar wakil masing-masing, sekali gus mencerminkan kekuatan saf perjuangan di semua peringkat.
“Mudah-mudahan kehadiran dan penyertaan ini menatijahkan keputusan yang baik, memacu ummah serta memperkukuh kesatuan jamaah.
“Selamat bermuktamar,” ujar beliau lagi.



























