Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob berkata, tindakan pihak yang menembak jatuh pesawat penerbangan Malaysia MH17 adalah kejam dan bertentangan dengan ajaran Islam.
“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan jenayah kejam menembak pesawat MH17 kerana ia bertentangan dengan agama dan undang undang kemanusiaan,”tegasnya, selepas mengunjungi Haji Daud Abd Kadir, di Melor dekat sini petang semalam.
Haji Daud adalah datuk kepada Allayarham Ahmad Hakimi Hanapi salah seorang penumpang yang menjadi mangsa dalam tragedi yang menyayat hati itu.
Ustaz Ahmad Yakob, mewakili seluruh rakyat negeri Kelantan menggesa kerajaan Malaysia membawa pihak yang bertanggung jawab dibawa ke muka pengadilan.
“Kita minta pihak kerajaan menuntut pihak yang bertanggungjawab melakukan jenayah ini dibawa ke muka pengadilan .
“PBB mestilah bertanggungjawab untuk mencari dalang sebenar dan perlu dibentuk segera sebuah badan bebas penyiasat,”jelasnya.
Beliau turut menggesa pihak pemerintah Russia supaya menyerahkan semua bahan bukti termasuk ‘kotak hitam’ pesawat tersebut kerana ia adalah milik Negara Malaysia.
“Kotak hitam mesti diserah kepada kerajaan malaysia kerana pesawat itu adalah milik kerajaan kita. Kotak hitam tidak boleh diambil oleh mana-mana negara kerana ia bercanggah dengan undang undang antarabangsa,”ujarnya.
Beliau melahirkan kebimbangan, segala bukti nahas tersebut akan lenyap sekiranya kotak hitam tersebut dikuasai oleh pihak lain.










