Mesir digesa kembali kepada pemerintah dipilih

632
http://buletinonline.net/images/stories/aberita24/morsi%20supporter.jpg

Setiausaha Rendah Amerika, Bill Burns, merupakan pegawai kanan Amerika pertama berkunjung ke Mesir sejak Encik Mursi, presiden pertama negara itu yang dipilih secara demokratik, digulingkan pada 3 Julai lalu.

Burns berkunjung ke Mesir sedang pemerintah sementara yang dilantik tentera memberi tekanan terhadap penyokong Morsi dan membekukan aset 14 anggota kanan Islamis.

Pemerintah baru Mesir sedang meneruskan rancangan peralihan dengan pemerintah sementara dan pilihan raya baru, tetapi kumpulan Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) yang menyokong Encik Mursi tegas menginginkan jawatan Encik Mursi dikembalikan kepadanya.

Burns dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin tentera dan awam sementara serta akan menggesa agar “semua keganasan dihentikan dan peralihan kuasa bergerak ke arah pemerintah awam yang dipilih secara demokratik dan merangkumi semua pihak”, kata Jabatan Negara Amerika.

Di peringkat antarabangsa, keprihatinan semakin memuncak dengan penahanan berterusan Morsi, yang mula ditahan beberapa jam setelah rampasan kuasa untuk menjatuhkan beliau.

Kelmarin, Morsi juga disoal pihak pendakwa raya tentang aduan tentang kemungkinan beliau melakukan jenayah.

Pentadbiran Amerika masih belum memutuskan sama ada beliau merupakan mangsa rampasan kuasa tentera.

Mengikut undang-undang Amerika, jika ternyata tindakan menjatuhkan Morsi merupakan satu kudeta terhadap pemimpin yang dipilih secara demokratik, negara itu harus membekukan bantuan ketenteraan dan ekonomi bernilai AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) kepada Kahirah.

Kelmarin, dua senator berpengaruh Republikan Amerika, Lindsey Graham dan John McCain, menggesa agar pentadbiran Amerika menyekat bantuan kepada Mesir sebagai respons kepada tindakan tentera menggulingkan Morsi.

Pada hari yang sama, ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Cik Catherine Ashton, menyeru agar Mesir segera kembali kepada pemerintah awam yang dipilih serta tahanan politik dibebaskan.

Kumpulan Ikhwan enggan menyertai pemerintah baru yang dipimpin Perdana Menteri Sementara, Hazem el-Beblawi, yang ingin membentuk kabinetnya dengan golongan teknokrat.

Kumpulan konservatif Islamis tegar, Al-Nur, turut mengesahkan ia tidak akan menyertai pemerintah sementara baru itu.

Antara jawatan kabinet yang telah disahkan semalam adalah pelantikan pemimpin liberal, Mohamed ElBaradei, 71 tahun, sebagai naib presiden sementara hubungan luar.

Beblawi dijangka mendedahkan senarai penuh kabinetnya hari ini atau esok. – AFP.