Menteri Kebudayaan Israel, Miki Zohar, mencetuskan kecaman antarabangsa selepas berikrar untuk melucutkan kewarganegaraan dua pengarah filem warga Israel, berikutan kejayaan dokumentari mereka mendedahkan taktik ketenteraan di Gaza.
Filem bertajuk NAZA arahan Yuval Abraham dan Rachel Szor, telah dianugerahkan Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Venice selepas menerima tepukan berdiri (standing ovation) selama 25 minit daripada penonton.
Filem berkenaan diterbitkan bersama oleh media United Kingdom, The Guardian, serta pasukan penerbit pemenang Oscar bagi filem The Zone of Interest.
Dalam satu kenyataan keras di platform media sosial X, Zohar menyifatkan karya tersebut sebagai “keji” dan menuduh kedua-dua pembikin filem itu melakukan “pengkhianatan terhadap negara” demi meraih tepukan daripada golongan antisemit di luar negara.
“Saya akan bertindak serta-merta untuk membatalkan kewarganegaraan Israel pencipta-pencipta hina ini atas tuduhan khianat,” tegas Zohar.
Beliau turut mempertahankan reformasi penapisan filem yang diterajuinya bagi memastikan dana awam tidak digunakan untuk membiayai karya yang “merosakkan imej tentera”.


Pembongkaran Sistem Sasaran AIFilem NAZA yang judulnya diambil daripada akronim risikan Israel bagi merujuk kepada anggaran jumlah kematian orang awam dalam sesuatu serangan udara.
Ia memaparkan testimoni eksklusif daripada 24 pemberi maklumat (whistleblowers) dalam kalangan pegawai risikan dan anggota tentera Israel.
Mereka memperincikan bagaimana sistem kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menyasarkan kediaman di Gaza.
Satu wawancara dalam filem tersebut memetic kenyatan seorang sumber mendakwa arahan tertinggi membenarkan pembunuhan sehingga 500 orang awam demi menghapuskan hanya seorang anggota Hamas.
“Pegawai risikan yang kami temui menceritakan bagaimana pembunuhan beramai-ramai ini dilakukan secara sistemik; bukan secara tidak sengaja, tetapi melalui reka bentuk dasar yang berasaskan dehumanisasi mutlak terhadap rakyat Palestin,” kata Yuval Abraham ketika menerima anugerah di Venice.
Beliau turut menyeru rakyat Israel untuk menonton filem tersebut bagi melihat jenayah yang dilakukan atas nama negara mereka.
Kecaman dan Sempadan Undang-UndangKecaman terhadap pengarah berkenaan turut disuarakan oleh Menteri Keselamatan Negara yang berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, yang menyifatkan mereka sebagai penumpas moral dan mencadangkan agar mereka berpindah terus ke Gaza.




























