Penjelasan yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada semalam masih belum menjawab persoalan utama bahkan mengundang persoalan tentang peranan Paul Phua kepada kerajaan Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz Omar menggesa Ahmad Zahid menjelaskan tujuan sebenar beliau mengutuskan surat kepada pihak Biro Pennyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.
“Beliau masih berdalih untuk mendedahkan apakah perkhidmatan keselamatan yang diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan Malaysia..?
“Sungguhpun beliau menafikan surat itu berbentuk surat sokongan agar Paul Phua tidak dikenakan pertuduhan namun, masih timbul persoalan atas tujuan apa beliau begitu bersungguh untuk mengutus surat tersebut.? Apatah lagi, ia ditulis atas memenuhi permintaan pihak peguambela si tertuduh,”katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, isu yang menjadi pertikaian umum sekarang bukanlah sekadar samada Paul Phua itu ahli kongsi gelap 14 K Triad di Malaysia atau di luar negara tetapi, rakyat menuntut penjelasan Menteri agar berterus-terang dalam penglibatan Paul Phua dalam sistem keselamatan negara.
Beliau menyifatkan tindakan Menteri Dalam Negeri itu memperkecilkan pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat sendiri.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mengakui sedang bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), jadi apakah keperluan penting sehingga memerlukan campurtangan Menteri dalam hal ini.?
“Kelihatannya Dato’ Seri Ahmad Zahid begitu yakin dengan maklumat yang dimiliki beliau sedangkan FBI merupakan agensi yang terkenal dengan kecekapan dalam soal risikan dan siasatan.
“Mungkin selepas ini, bolehlah Dato’ Seri Ahmad Zahid mengutus surat teguran pula kepada FBI agar lebih cermat dan teliti agar tidak mendakwa pihak yang tidak bersalah pada pandangan beliau,”katanya sinis.
Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena menegaskan, PAS masih konsisten dengan penegasan agar pihak kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri agar bersikap telus dalam isu ini.
Oleh itu, beliau memberi ingatan kepada kerajaan agar tidak berselindung disebalik undang-undang sebaliknya menggadaikan keselamatan negara.
“Usah jadikan alasan ‘rahsia besar’ di bawah perlindungan Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk membolehkan pihak kerajaan sanggup bersekongkol dengan raja judi dan kongsi gelap dalam hal keselamatan negara.
“Perbuatan ini tidak ubah seperti “talam dua muka”, di hadapan rakyat umum melaungkan slogan membanteras jenayah, sedangkan di belakang rupanya mempunyai hubungan erat dan mesra dengan penjenayah,”tegas beliau










