Menjelang Muktamar PAS 63; Selepas Badai Laut Akan Tenang……..

1430

Oleh: Dr Azman Ibrahim

PAS sebagai sebuah bahtera besar yang belayar di lautan luas, memang lumrah bila ada ketikanya dilanda badai. PAS jangan dibuat bandingan dengan jemaah kecil yang lain. Mereka hanya ibarat perahu kolek yang belayar dalam kolam. Tak ada pengalaman dipukul badai. Tapi andainya perahu kolek ini tersesat masuk ke lautan luas, bahaya bakal menjelma. Tak mustahil perahu kolek akan bertukar menjadi kapal selam mini!

Lumrah di lautan, selepas badai melanda, laut akan tenang setenang-tenangnya. Ketika itu pelayaran bahtera akan menjadi lancar dan bahtera mampu ke depan dengan lebih laju. Anak-anak kapal yang terbaring dalam kabin dek kerana mabuk laut boleh kembali keluar dari kabin untuk meneruskan kerja masing-masing. Tinggalkan yang mabuk dan tak sabar lalu terjun ke laut sebelum ini. Adanya mereka menganggu keharmonian pelayaran. Jenis tak sabar dan merasakan pelayaran lambat sampai ke destinasi, biarkan mereka terjun naik kapal lain. Itu pun kalau nasib baik tak lemas ditelan ombak.

Perjalanan kita masih jauh dan penuh pancaroba. Adalah lumrah bila menempuh perjalanan panjang secara berjamaah, akan ada perbezaan pandangan dan pendapat antara ahli pelayaran. Ini adalah fitrah kerana air hujan yang sama turun dari langit lalu membasahi bumi tetapi menumbuhkan tanaman dengan pelbagai bentuk dan menghasilkan buah yang pelbagai rasa. Mereka yang mengharapkan manusia semua sama tanpa sebarang perbezaan bagaikan mereka yang menyangka, lantaran kerana hujan yang sama menyirami bumi maka sepatutnya ia hanya menumbukan pohon-pohon yang sama sahaja!

Bukan semua perkara yang diputuskan oleh Nakhoda sepanjang pelayaran ini bersesuaian dengan kehendak kita. Tetapi Nakhoda wajib ditaati selagi dia tidak bertindak menenggelamkan bahtera atau melencong arah pelayaran lari dari kompas yang ditetapkan oleh perlembagaan. Ahli pelayaran terbuka untuk memberikan pendapat tetapi bukanlah akhlak yang baik andai sepanjang masa kita sentiasa berbantah tak berkesudahan melawan Nakhoda.

Kalau perlukan air, jangan tebuk bahtera untuk mendapatkan air secara mudah. Naiklah ke atas dan dapatkan sumber air dari tempat yang sepatutnya. Walau sedikit lambat dan perlu sedikit usaha, yang utama fikirkan keselamatan sahabat-sahabat sepelayaran kita. Jangan pentingkan diri sendiri sehingga membahayakan orang lain.

Kita juga jangan fikir nak buat macam-macam bentuk perahu-perahu kecil yang lain dengan mengopek lalu mengambil kayu dan papan dari bahtera sedia ada sehingga akhirnya struktur bahtera ini menjadi lemah. Kalau nak bina juga perahu-perahu kecil lain sebagai sokongan, dapatkan bahan binaan dari sumber lain. Selepas itu kita bersama mengukuhkan armada pelayaran ini.

Muktamar Tahunan PAS Ke 63 adalah muktamar pasca badai yang melanda pada tahun 2015. Sebagai salah seorang ahli pelayaran ini, saya menitis air mata kesyukuran melihat ketengangan yang dianugerahkan Allah akhirnya kepada perjalanan bahtera besar ini. Alangkah besar anugerah Allah yang memilih kita untuk terus istiqamah berada di sini.