Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.
Menara masjid Rusila melantunkan laungan suara yang menggema sehingga beberapa kilometer, berdesakan manusia bertali arus mengunjungi perkampungan ijtimak di Rusila Terengganu. Ijtimak antarabangsa perpaduan ummah kali pertama pada tahun 1988 menjadi kenangan manis semua pendokong gerakan Islam , terutama anak-anak muda yang sedang disemangati dengan kebangkitan Islam. Rusila dengan hamparan pantai yang bersih menjadi lokasi perkhemahan yang sangat meriah. Solat berjemaah dilaksanakan dengan saf yang panjang, bermula di mihrab masjid sehinggalah menganjur ke pantai .


Tahun 1988 adalah tahun yang sangat dramatik apabila Dewan Pemuda Pas Pusat mengadakan pertemuan makan malam Perpaduan Ummah dengan serpihan UMNO yang akhirnya dikenali sebagai Semangat 46. Pertemuan itu merintis jalan ke arah tahaluf siyasi Pas berama Angkatan Perpaduan Ummah. Pada tahun yang sama satu operasi tangkapan ISA telah berlaku yang dikenali sebagai Operasi Kenari, lebih 30 orang aktivis pemuda Pas daripada Perak dan Kedah telah ditahan tanpa bicara termasuk, ustaz Sidek Noor.
Ijtimak Alami berlangsung dalam keadaan regim umat Islam di seluruh dunia sedang menindas gerakan Islam dan tokoh-tokoh mereka. HAMAS ditekan hebat pada tahun tersebut, apabila gerakan perlawanan itu baru sahaja setahun ditubuhkan oleh Sheikh Ahmad Yasin, Muhamad an Najjar, Sheikh Solah Syahadah dan lain-lain para pejuang. Di Tunisia, parti Islam an Nahdah yang dipimpin oleh Rashid Ghanousi diharamkan oleh regim Habib Bourgiba sehingga tiga ribu anggota terasnya mendekam dalam penjara, manakala Ghanousi mendapat suaka politik di Eropah.


Ikhwanul Muslimin dalam dekad 80an terus menjadi “beg pukul” regim Mesir yang diketuai oleh Presiden keempat negara itu, Hosni Mubarak. Tangkapan massa pasca pembunuhan Anwar Sadat pada Oktober 1981 masih berbekas pada tahun 1988. Namun ramai tokoh-tokoh Ikhwan yang mendapat suaka politik , juga berkhidmat sebagai akademisi di luar Mesir, antaranya Sheikh Said Ramadhan,
Menjadi satu dosa kepada rakyat negara Asia Barat untuk mengganggotai gerakan Islam Ikhwanul Muslimin, bahkan akan dihukum bunuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara Syria. Bahkan negara berkiblatkan sosialisme Arabisme itu telah menumpahkan darah seramai 42 000 orang di Hamah pada tahun 1982. Libya juga dibawah Muammar Ghadafi mengenakan sekatan kepada perkembangan Ikhwan, pemenjaraan adalah lumrah, bahkan di Iraq yang juga bernuansa Baath, pembunuhan dan penyiksaan seperti mesin darah yang sentiasa mengintai para amilin. Sheikh Abdul Aziz al Badri , ilmuan Ikhwan di Iraq antaranya telah dipotong lidah dalam penjara.


Terlalu banyak isu dan tema Umat Islam yang dibincangkan dalam Ijtimak Alami kali pertama, pemidato dan ilmuan Islam yang memukau pesona. Berselingan dengan laungan takbir yang penuh semangat daripada ratusan ribu peserta, program mega ini menyimpulkan ukhuwwah dan menghantar isyarat jelas ke dalam nurani yang paling tersembunyi iaitu “kita semua bersaudara” , wajib bahu membahu membentengi Deenullah ini. Jom kita serbu ijtimak alami ketiga pada 20,21 dan 22 mac ini di Rusila, anda akan merakam sejarah yang indah dalam milenea baru ini.
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengarah Promosi Ijtimak Alami kali Ketiga)



























