Menganjurkan Wacana Tokoh Tidak Salah Tetapi Menyalahgunakan Nama Tokoh Adalah Menjengkelkan

2297

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

PAS semenjak keberadaannya di medan siasah, dakwah dan tarbiah telah menganjurkan pelbagai wacana pemikiran tokoh. Saya sendiri semasa menjadi anggota Dewan Pemuda dan jaringan sivil telah terlibat dengan puluhan penganjuran wacana tokoh-tokoh gerakan Islam yang berjasa menyumbang kebaktian kepada ummah.

Antaranya wacana memperingati Hasan al Banna, Sayyid Qutb, Sheikh Ahmad Yasin, Dato Ustaz Fadhil Mohd Nor, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Dato Ustaz Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Dato Ustaz Abu Bakar Chik dan tokoh-tokoh yang lain.

Kajian tentang pemikiran tokoh serta jasa mereka adalah antara program mencanai intelektual, memberdaya keseriusan dalam membina gerakan serta mewujudkan budaya berfikir dan mengkaji. Jarang sekali program wacana tokoh dikritik malah dibuat laporan Polis seperti mana kes penganjuran wacana tokoh, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh PAN minggu ini.

PAN sebagai parti serpihan PAS cuba memancing perhatian masyarakat dengan mengaitkan perjuangan mereka dengan nuansa perjuangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, walaupun keluarga tuan guru yang berpayung dibawah Yayasan Ni’matillah telah memprotes usaha memanipulasi nama baik almarhum. Laporan polis juga telah dikemukakan oleh anak almarhum, Ustaz Nik Adli Nik Abdul Aziz, namun parti yang dibidankan oleh DAP ini tetap berdegil untuk meneruskan wacana.

Anak-anak muda Islamis negara ini wajar mengenal siapakah almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau seorang yang tegas dengan prinsip Islam, tidak menggadaikan prinsip dengan mudah demi kekuasaan. Pada tahun 1981, Dewan Ulama PAS Pusat yang dipimpin oleh almarhum menolak usaha untuk bertahalluf dengan DAP sehingga hampir berlaku perang dingin dengan Presiden PAS saat itu.

Jatuh bangun almarhum tetap bersama perjuangan Islam, beliau pulang daripada pemukiman ilmu di Mesir dengan ijazah Sarjana, namun saat ilmuan lain memilih untuk hidup senang dan bersama pemerintah, beliau memilih PAS sebagai wadah perjuangan. Hatinya hiba melihat tangkapan borong terhadap ulama dan asatizah yang mendokong PAS di Kelantan dibawah ISA. Almarhum memenangi Pilihanraya Kecil Parlimen Kelantan Hilir pada tahun 1967, mengalahkan wakil parti Perikatan.

Apabila Muktamar Khas PAS memutuskan harakatul ummah ini menyertai koalisi baru pemuafakatan politik Barisan Nasional pada awal dekad 1970an, almarhum tetap bersama jamaah tercinta ini, walaupun jiwanya perih dengan kekasaran UMNO terhadap PAS melalui tindakan gasar Pemuda tahan lasak UMNO.

Beliau juga teguh bersama jamaah apabila berlaku krisis MB Kelantan pada tahun 1977, walaupun akhirnya tertubuh BERJASA,akibat konflik dalaman PAS. PAS hilang pengkalan kuasanya di Kelantan dalam pilihanraya 1978, almarhum dengan gigih membangunkan kembali kekuatan jamaah dengan menggerakkan jihad pendidikan. Kuliah-kuliah ilmu pagi jumaat di setiap kawasan di tanah serendah sekebun bunga menjadi pemangkin kepada ahli-ahli, menyuntik kembali semangat yang hilang akibat hilang kuasa di Kelantan.

12 tahun kemudian, PAS kembali merengkuh kekuasaan di Kelantan dan beliau memimpin negeri itu dengan motto “membangun bersama Islam”. Pembangunan Kelantan diselaraskan dengan acuan Islam sehingga dicemburui oleh lawan. Kekuatan PAS semakin melebar, daripada kawasan pedalaman sehinggalah kawasan elit di kotaraya, pengaruh PAS mewabak dalam dekad 90an. Kelantan menqanunkan Enakmen Jenayah Syariah dan beliau tidak pernah menyembunyikan hasrat itu. Kerajaan Kelantan menjadi model kepada gerakan Islam lain, bagaimana upaya membangunkan pemerintahan.

PAN harus sedar diri bahawa kewujudan mereka adalah memecahbelahkan kesatuan amal Islami di tanahair ini. Keberadaan mereka ini adalah sebagai jamaah dhirar yang merosakkan aspirasi ummah, bahkan melengahkan kemenangan Islam. Almarhum Tuan Guru dalam hayatnya sentiasa menekankan peri pentingnya mengukuhkan wadah ummah ini, mencela perbuatan mewujudkan khutlah mahu pun firqah.

Beliau sentiasa mengingatkan para pendokong PAS untuk terus menjayakan cita-cita melihat tertegaknya perundangan Syariah di tanahair ini. PAN seperti kontang idea untuk mengenengahkan tokoh atau ikon untuk mereka kaji. Saya mencadangkan pimpinan PAN mengkaji biografi politik Jeneral Murtopo, tokoh TNI (Tentera Nasional Indonesia), bagaimana makar serta strategi melumpuhkan gerakan Islam Indonesia serta gerakan swadaya Islam. Cukuplah memanipulasi sejarah emas Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat demi politik sempit kamu!