Multaqa Ulamak Semalaysia adalah medan pertemuan para Alim Ulamak dalam PAS bagi mengukuhkan gerak kerja kepartian dan memaksimakan tugasan ahli-ahli ilmu dalam PAS.
Ia menjadi medium untuk Alim Ulamak menyampaikan pandangan mereka menerusi peluang berbahas mewakili negeri-negeri.
Menurut Pengarahnya Ustaz Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, ia juga ruang untuk ahli mendapatkan pencerahan dan maklumat dalam pelbagai isu semasa yang melingkari perjuangan.
“Dewan Ulamak PAS Pusat selaku dewan kanan yang berperanan menasihati parti berkewajipan dalam setiap masa dan keadaan menjadi benteng kepada keaslian perjuangan PAS.
“Akhiran ini dasar Kepimpinan Ulamak yang menjadi teras kekuatan PAS dan telah dilembagakan dalam perlembagan PAS cuba disabotaj, dirungkai dan dipertikaikan.
“Ahli-ahli PAS pasca reformasi 98 mempunyai pelbagai recam aliran pemikiran dan kecenderongan yang membawa kepada bibit perpecahan,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, serangan terhadap Majlis Syura Ulamak dan juga terhadap Presiden PAS sendiri jika tidak dibendung bakal membawa kepada kehancuran PAS.
Maka dengan itu, kata beliau, Multaqa Ulamak kali ini membawa tema Istiqamah dengan Kepimpinan Ulamak menerusi ucaptama YAB Dato Ahmad Yaakob dan ulasan oleh YB Dato Mohd Amar Nik Abdullah.
Katanya, ucapan perbahasan oleh wakil-wakil daripada Dewan Ulamak Negeri, Ulamak Pelapis dan Alimat akan merimbunkan lagi perbincangan.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, walak sebahagian ahli PAS telah mula beralih daripada PAS kepada Pakatan Rakyat sedangkan syarat Tahaaluf Siyaasi yang telah digariskan oleh MSU ialah walak hanyalah kepada Parti Islam.
“Ketaatan yang wajib kepada ketua dalam Islam selagi tidak bercanggah dengan syarak iaitu Presiden PAS dalam konteks PAS telah cuba dilanggar dan diengkari oleh segelintir pemimpin dan ahli.
“Untuk itu tajuk Walak dan Ketaatan menjadi sebahagian kertas pembentangan dalam Multaqa nanti.
“Ahli-ahli PAS sudah mula terpikat dengan pemikiran sosialis atau liberal atau kapitalis dalam menangani permasalahan ekonomi negara. Ada yang menerima GST sebagai sistem percukaian.
“Maka ahli perlu diperingatkan tentang penyelesaian Islam dalam realiti krisis ekonomi bernegara menerusi kerta kerja Krisis Ekonomi Negara; Solusi Urus Tadbir Islam yabg akan dibentangkan oleh Ustaz Nazri Chik, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ustaz Zaharuddin Mohamad AJK Dewan Pemuda Malaysia yang kedua-duanya mempunyai kepakaran di bidang kewangan Islam,”jelas beliau.
Sehubungan itu, oleh kerana gerakan Islam berhadapan dengan fenomena Post Islamisme khususnya pasca Arab Spring,pPemikiran liberal dan sekuler mula meresap masuk perlahan-lahan ke dalam batang tubuh gerakan Islam atas nama bertolak ansur dan keterbukaan.
“Isu ini akan diselusuri oleh pakar bidang iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Prof Dr Badruzaman Yusof menerusi tajuk Gerakan Islam Pasca Arab Spring.
“Strategi kemenangan gerakan Islam mula ditinjau pada sudut pandang barat dan pemikiran sekuler. Keimanan tidak menjadi teras pembentukan strategi.
“Maka ahli dan pimpinan perlu diperingatkan dengan sumber Sirah Rasulillah saw sebagai panduan merancang strategi gerakan Islam menerusi topi Fiqh Siyaasah Dalam Sirah Nabawiyyah oleh YB Ustaz Nik Abduh dan YB Ust Abdullah Husin,”tambah beliau.
Menurutnya, pemimpin senior mempunyai pengalaman turut serta dalam Multaqa dalam penampilan mengupas wasiat pimpinan oleh Dr Abdul Aziz Hanafi, Ust Hashim Jasin dan Tuan Guru Hj Baqi Osman.
Seterusnya, kata beliau, Multaqa akan ditutup penggulungannya oleh Tuan Guru Dato Dr Harun Din sebagai satu amanat perjuangan buat para Alim Ulamak dan ahli PAS.
Justeru, seluruh Alim Ulamak dan ahli PAS diseru untuk hadir bersama beramai-ramai esok sabtu 21hb februari 2015 bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang di Stadium Tertutup Serdang Jaya bagi memperkukuhkan saf perjuangan berteraskan Kepimpinan Ulamak.










