Mempertaut Ukhuwwah ‘Abnaul Harakah’

233

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Persekitaran KUIZM Taman Melewar yang dahulunya Markaz Tarbiah PAS Pusat berselubung euforia mahabbah dan ceria pada pagi 12 Jun 2022.
Pimpinan PAS disemua peringkat memenuhi Dewan Fadhil Noor KUiZM untuk mencicip pesan- pesan berharga daripada murabbi jamaah. PAS telah melepasi umurnya tujuh dekad berjuang dan mendobrak kebatilan ditanah leluhur ini, tak mudah mengumpulkan kekuatan untuk bertahan dalam tempoh yang panjang.

Kekuatan PAS bukan sekadar dengan sejuta ahlinya yang mempunyai iltizam yang tinggi namun disana adanya akar pengikat yang kuat iaitu ukhuwahfillah. Ukhuwwah merupakan prasyarat kemenangan harakah Islam sebagaimana yang diungkapkan oleh Maulana Maududi, pendiri Jamiat Islami yang juga pemikir Islam tersohor. Ustaz Dato Idris Ahmad, Pengerusi Lujnah Tarbiah PAS Pusat telah menggariskan beberapa panduan untuk mengikat batu bata ukhuwwah sesama anggota jamaah Islam ini.

Tips paling asas dan terbaik ialah berbaik sangka dengan semua ahli PAS, jauhi prejudis terutama diera tamkin. Bisikan- bisikan liar pasti merosakkan ukhuwwah semahal tempayan emas¡.Mereka yang tidak ikhlas akan terkeluar atau dikeluarkan oleh ahli, kerana PAS ialah jama’ah yang terdiri dari kalangan orang yang soleh, menyintai kebenaran dan perjuangan islam. Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri tidak akan berjaya. Oleh itu berbaik sangka dengan sahabat adalah perlu, Jauhkan prasangka buruk sesama anggota dan membina perpuakan.

Sifat meraikan semua ahli yang berbagai latar belakang status kedudukan dan tahap akademik adalah perlu. ” Ahli- ahli PAS latarbelakang sosio ekonomi pelbagai, darpada PhD sehinggalah yang tak gosok gigi” kata Ustaz Idris bercanda. Janganlah kita mudah mengeluarkan perkataan bodoh jika ahli yang diarah melaksanakan kerja tersilap menerima arahan. Anggaplah tahap pemikiran mereka tidak sama dengan kita. Jika kita dengan mudah mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati sahabat bagaimana ikatan ukhuwah hendak ditautkan.

Lahirkan sifat kasih sayang sesama anggota. Biarlah menampakkan kita kasih kepada amilin bawahan terutamanya. Lemparkan senyuman dan manis muka dan ringan mulut untuk berbicara dan bertanya khabar teman-teman kita. Ahli PAS sejujurnya sayang kepada perjuangan ini,bukan wang yang diminta, tetapi ialah kemesraan dan layanan yang mereka dambakan. Mereka lebih berbangga jika pimpinan mereka cakna, ” membumi” serta merakyat, mengambil berat terhadap mereka.

Berilah keutamaan kepada ahli PAS ketika memberikan bantuan, jangan tak peduli dan mengkesampingkan kebajikan ahli- ahli yang ditimpa kesusahan. Lihatlah ahli dan amilin yang memang susah dan layak menerima bantuan. Memang kebiasaan ahli PAS tidak meminta walaupun mereka ini orang susah, tetapi kita sebagai pimpinan perlu mengambil berat terhadap keperluan mereka.

Menurut Ustaz Idris, “apabila semua amilin memikirkan untuk mengalahkan musuh, maka jama’ah akan kuat. Selalunya orang yang tidak berkerja atau sedikit kerjanya untuk parti memang terlalu nampak kesalahan sahabat sedangkan beliau hanya asyik mengkritik tanpa apa-apa sumbangan kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti. Orang seperti ini amat merbahaya kepada parti dan tidak mendatangkan apa-apa faedah”.

“Kelompongan dalam saff jama’ah akan memberi tempat kepada syaitan untuk menyusup masuk ke dalam saff parti. Parti akan kukuh seperti acuan keluli di mana syaitan dan musuh parti tidak dapat mencari lubang pun untuk mencelah masuk dan melakukan kerosakan. Walaupun syaitan datang dengan bala tentera yang banyak untuk menyerang” tambah Menteri Agama (JPM) yang juga Naib Presiden PAS itu.

Pembentangan kedua oleh Presiden PAS memasakukuhkan lagi kefahaman tentang memaknai ukhuwwah. Tuan Guru DS Abdul Hadi Awang memperingatkan khalayak peserta tentang Islah al hukumah dengan realiti fan cabaran mendatang. Era tamkin masakini memerlukan keupayaan mengurustadbir, kompetensi serta meletakkan nuansa perjuangan Islam pada semua peluang dan ruang yang terbentang. PAS berperanan menyatukan semua kelompok Islam di negara, meminimakan jurang antara kumpulan, elakkan pertembungan agar kuasa yang ada tidak terlepas ketangan mereka yang memusuhi Islam.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat,Pengerusi LESTARI)