Memperbanyakkan Amalan Soleh Pada 10 Awal Zulhijjah

110

Bulan Zulhijjah mempunyai keistimewaan dan fadilat yang tersendiri dalam kalendar Islam selain bulan Ramadan dan Syawal dengan ibadat berpuasa dan sambutan Aidilfitri.

Ini kerana pada bulan Zulhijjah disyariatkan ibadat haji dan terdapat sambutan Aidiladha iaitu pada 10 haribulan Zulhijjah di mana umat Islam melakukan ibadat korban.

Justeru, pada 10 hari di awal bulan Zulhijjah juga terdapat fadilat yang amat besar.

Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas R.A, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.

“Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”

Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

(Sahih al-Bukhari, no.969, Sunan Abu Daud, no.2438), Sunan Ibn Majah, no.1727, Sunan al-Tirmizi, no.757)

Terdapat perbahasan di kalangan para ulama mengenai hadis-hadis yang menyebut amalan-amalan soleh secara khusus pada awal bulan Zulhijjah ini.

Kesimpulannya, kita dianjurkan melakukan apa sahaja amalan soleh tanpa menentukannya secara khusus sama ada solat sunat, puasa sunat, berzikir, bersedekah, membaca al-Quran dan lain-lain.

Ustaz Marzuk Shaary

#1sunnah1hikmah

#rayahaji2021

#SunnahQurban