Oleh : KAM
KUALA NERUS – Ajaran Islam menetapkan politik itu merupakan satu amanah yang besar dalam memimpin negara dan menegaskan memimpin negara dan bukannya peluang mendapatkan harta bagi diri, kroni serta pengikut-pengikutnya.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kefahaman terhadap politik hari ini telah rosak apabila menganggap itu peluang dan bukan sebagai amanah.
“Politik adalah memimpin negara. Islam mengajar memimpin negara adalah amanah yang besar.


“(Rakyat) Memilih pemimpin dengan duit bukan kerana kebolehan dia (pemimpin) menunaikan amanah. Politik sudah rosak kerana orang menganggap ianya (politik) itu peluang, bukan amanah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Harapan Semua (HARAP) 3.1 di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, semalam.
Beliau berkata, pemikiran dan kefahaman rakyat terhadap politik itu perlu ditukar agar masyarakat memahami memilih pemimpin merupakan satu amanah.
Menurutnya, Islam merupakan penyelesaian segala masalah kerana Islam itu adalah ajaran agama dan politik.
“Islam adalah ajaran agama dan politik yang hendak kita (PAS) perkenalkan. Kita hendak betulkan politik, betulkan ekonomi dan hendak betulkan masyarakat dengan Islam sebagai penyelesaian.


“Politik adalah amanah dan kita (PAS) wajib menukar (pemikiran) masyarakat kita supaya memahami, memilih pemimpin itu satu amanah,” jelasnya di hadapan ribuan hadirin.
Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa PAS amat menghargai pelbagai kaum yang terdapat di negara ini.
Katanya, orang Melayu perlu bangkit bersama-sama dengan kaum lain yang berani membuat perubahan politik sebagai satu amanah.
“Kita (PAS) menghargai pelbagai kaum yang ada di Malaysia hari ini, yang berani membuat perubahan. Dan orang Melayu juga hendaklah bersama kaum yang lain ‘berani’ membuat perubahan.
“Perubahannya ialah menjadikan politik sebagai satu amanah untuk memberi rahmat kepada kita (rakyat) semua dan bukan peluang untuk mendapat duit,” ujarnya.
Tema penganjuran program HARAP 3.1 tersebut “PAS Harapan Semua” bagi menjana momentum ‘mood’ rakyat agar membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.




























