Pemuda PAS Kelantan merasa sedih dengan kenyataan Perdana Menteri Dato’Seri Najib Razak yang semakin bercelaru dan bercakap tanpa asas.
Ketua Penerangannya Nazman Che Ibrahim mengingatkan Najib dan ahli-ahli Umno bahawa rakyat Kelantan tidak pernah menjadi bangsat sejak PAS memerintah negeri tu 25 tahun yang lalu.
“(Najib kata) dengan hilangnya kuasa UMNO, maka disebut bahawa Melayu bukan sahaja akan bangsat, tetapi akan menjadi terbangsat.
“Sedarkah Dato’ Seri bahawa kami di Kelantan sudah hampir 25 tahun pemerintahan tanpa UMNO di negeri ini? Bangsatkah kami selama dekad itu? Terbangsatkah Melayu Kelantan tanpa UMNO yang dinafikan kuasa selama 25 tahun ini?,”soalnya.
Malahan katanya, Melayu Kelantan semakin bermaruah dan meningkat keupayaan kendiri selama tempoh tersebut.
Katanya, darjat Melayu Kelantan lebih tinggi dengan penghayatan Islam apabila kerajaan negeri melaksanakan kewangan Islam, membersihkan negeri dari najis arak dan judi.
“Kewangan kerajaan negeri dipindahkan daripada bank konvensional dengan asas riba, ke bank dan kaunter islamik. Pusat pusat judi ditutup.
“Arak tidak lagi dijual secara terbuka dan wewenang. Melayu lebih tinggi darjatnya dengan Islam,”jelasnya
Dari segi ekonomi, tegas beliau, ramai anak-anak Melayu Kelantan yang berjaya dalam perniagaan dan memberi pula peluang yang cukup banyak untuk anak anak muda bekerja.
Sebaliknya, menurutnya, Melayu jadi ‘terbangsat’ adalah kerana Umno, sehingga diperkatakan orang ‘dimana ada Umno, disitu ada Melayu yang miskin dan papa kedana’.
“Melayu bangsat saat ini adalah kerana UMNO. Hinanya Melayu bahkan seluruh rakyat Malaysia adalah kerana UMNO.
“Nama negara ini terpampang di seluruh akhbar dunia dengan skandal Altantuya, Skandal 1MDB, Duit RM2.6 billion dan sebagainya. Bangsat maruah kita di mata masyarakat dunia kerana pemimpinn Umno termasuk presidennya,”jelas Nazman
Sehubungan itu, Predidenn MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menzahirkan rasa kecewa dan mempersoakan kenapa pemimpin tertinggi Umno, berjawatan Presiden memilih untuk mengistilahkan bangsa Melayu akan jadi bangsa terbangsat jika Umno hilang kuasa.
“Istilah bangsat yang dipilih itu melambangkan pemimpin sudah terdesak dan tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap bangsa sendiri. Sedangkan bangsa Melayu itu sendiri sudah semakin sedar bahawa kepincangan yang berlaku adalah natijah dari kekonyolan pemimpin mereka sendiri.
“Sepatutnya pemimpin Melayu harus insaf bahawa kehilangan kuasa adalah disebabkan bangsanya kehilangan keyakinan terhadap integriti pemimpinnya sendiri. Bermakna pemimpinlah yang harus diperbetulkan terlebih dahulu sebelum melampiaskan kata-kata nista kepada bangsanya sendiri,” tegas Mohd Azmi dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, melafazkan bangsa terbangsat bukan sahaja menunjukkan kedangkalan kefahaman mengenai faktor-faktor jatuh bangunnya sesuatu kaum atau bangsa, akan tetapi lebih parah menunjukkan betapa pemimpin itu bersikap bebal, fanatik dan dangkal kepada nurani bangsa, sedangkan bangsa sendiri sudah semakin berani mempersoal dan menegur pemimpinnya.
Tidak wajar bangsa yang berpegang kepada Islam tiba-tiba pemimpinnya merumuskan apabila parti politik yang mewakilinya kehilangan kuasa, pemimpin itu pula sanggup mencerca bangsa sendiri sebagai bangsa yang jahat dan hina.
“Soalnya benarkah tanpa sebuah parti politik yang berdasarkan perjuangan nasionalisme, bangsa akan menjadi hina dan bertukar menjadi bangsa yang berwajah fasad dan mungkar.
“Akal sihat tidak dapat menerima kata-kata ini sebagai kata-kata yang benar, apatah lagi kepimpinan parti itu sendiri yang menjadi punca polimik dan konflik menyebabkan kaumnya berhadapan dengan kemelut yang parah,” tegasnya.
Mapim berpendapat yang menjadi masalah sebenarnya ialah pemimpin bangsa itu sendiri bukan bangsanya semata-mata. Umno yang dikatakan satu-satunya bahtera untuk membawa bangsa Melayu berlayar dalam lautan yang bergelora ini dibayangkan akan karam. Jika begitu, itu apakah bangsa Melayu terlalu cetek pemikirannya untuk tidak mahu memileh bahtera yang lain.
“Keselamatan Melayu hanya terjamin jika bangsa ini dididik, diasuh dan dimantapkan dengan penghayatan Islam seluruhnya. Ia tidak akan mulia dan selamat dengan wadah yang tercemar dengan pemimpin yang berkepentingan diri dan membolot kekayaaan atas nama bangsanya sendiri,” kata Mohd Azmi lagi.










