Melayu Berdaulat Dengan Islam

411

Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN – Festival Main ‘Gayong Nusantara 2022 kali ini bertemakan Melayu Berdaulat Dengan Islam diambil bagi mengeratkan tali silaturrahim dan membina kekuatan sesama Islam.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman merangkap Pengarah Majlis Tindakan PAS DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, ia perlu diperkasakan sebelum ianya terus berpecah akibat perbezaan fahaman politik.

“Salah satu matlamat festival ini diadakan adalah untuk mengeratkan persaudaraan dikalangan rumpun bangsa kita.

“Disamping kita cuba mengangkat seni budaya melayu agar tidak ditelan zaman dan diikat kukuh dengan tali Allah iaitu islam,” katanya.
Pengerusi Sekretariat Festival Main ‘Gayong Nusantara 2022 itu berucap ketika acara pembukaan festival tersebut yang diadakan di Pantai Telok Kalong, Kijal selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Oktober 2022.


Ustaz Hazri berkata, tema ini juga dinamakan bagi mengambil semangat dan roh yang pernah disebut oleh Saidina Omar Al-Khattab ketika baginda membuka Kota Palestina.

“Kami satu kaum yang Allah kurniakan kedaulatan iaitu Islam. Sekiranya kita berpegang selain daripada kekuatan Islam, maka kita akan dihina oleh Allah,” ucapnya.

Beliau juga memetik kata-kata daripada pejuang Mat Kilau bagi menyedarkan yang hadir agar kembali bersatu dan bersama dalam jaluran yang satu, “Jangan Biarkan Bangsaku Tidak Bernegara.”

Festival anjuran bersama oleh Pejabat Penyelaras DUN Kijal, Pertubuhan Persaudaraan Seni Silat Pantai Timur (PERSIMA) dengan sokongan Pelancongan, EPIC Berhad dan Darul Iman Training Centre (DITC) berjaya mengumpul lebih 200 perguruan silat dari seluruh semenanjung termasuk Thailand dan Singapura.

Perasmian Penutup telah disempurnakan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat dengan menaiki kereta kuda setelah diiringi oleh konvoi motor oleh Alternative Riding Club (ARC) Kemaman.