Media Sosial Bukan Rujukan Utama

891

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Ahli PAS diminta berhati-hati dengan setiap persepsi ataupun tanggapan negatif yang sengaja ditimbulkan didalam media sosial kerana medium berkenaan bukanlah mekanisme bagi dijadikan rujukan utama.

Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun, Ghazali Sulaiman berkata kadang-kadang maklumat yang berlegar di media sosial boleh jadi ianya daripada pihak yang memusuhi PAS justeru perlu disahihkan sumber maklumat berkenaan.

“Kerana kita dapati adanya terjadi sikap ahli PAS yang lebih percayakan persepsi yang dibentuk musuh, pada kebiasaanya mereka inilah yang menjadi duri didalam daging.

“Dimana selalu membuat adu domba, suka menghantuk sesama sendiri sehingga sesama Jemaah berselerak sehingga memberi kesan kepada hubungan silaturrahim,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, menyebut mengenai dilema yang dihadapi oleh dunia gerakan Islam masa kini, disini, pada Isnin, 17 Februari.

Gagal mengikuti segala program diaturkan PAS katanya menjadi punca tidak wujudnya kesatuan pemikiran.

“Sedangkan program seperti usrah, tamrin, Liqa Fikri telah dikhususkan sekian lama agar dapat mempereratkan ukhwah disamping dapat memperkasakan ahli itu sendiri,”ujarnya.

Apabila gagal hadir ke program berkenaan, kesannya akan mudah termakan dengan segala bentuk persepsi negatif terhadap Jemaah dan pemimpin parti itu sendiri.

“Sementelah lagi apabila ahli itu sendiri tidak suka dirinya ditarbiah berpunca dari merasakan diri sudah hebat, akhirnya membentuk dirinya dengan perwatakan ego yang membawa kepada tergelincir daripada jemaah.

“Justeru ikatlah diri bersama didalam jemaah, perlu bersatu hati serta mentaati setiap arahan pimpinan agar mampu istiqamah sehingga Islam itu dapat ditegakkan di bumi Malaysia ini secara menyeluruh.

“Jangan sampai kita karam di lautan sedangkan bahtera ini, terus maju ke hadapan tanpa mengalami karam,” tegasnya.