Masyarakat Tionghua Hargai Usaha PAS

1207

DUNGUN – Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (LPN DMPNT) merupakan suatu lajnah penting di dalam PAS yang bertindak sebagai penghubung parti Islam tersebut dengan masyarakat bukan Islam.

Menurut Pengerusi LPN DMPNT dan juga Ketua LPN kawasan Dungun, Puan Serena Lim Abdullah, LPN sentiasa peka dengan kebajikan dan keperluan masyarakat bukan Islam, selain meraikan hari kegembiraan mereka.

“Sebagai contohnya, setiap 27 September kami akan mengedarkan kuih bulan kepada masyarakat Cina sempena Perayaan Moon Cake. Tahun ini kami memastikan kuih bulan sampai kepada kaum Cina yang ramai berada di kawasan Kemaman, Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Besut

Menurut Puan Serena, kuih bulan biasanya di edar sebelum tarikh sambutan atau pada 27 September. Namun, tidak menjadi masalah jika diedarkan selepas tarikh tersebut.

Beliau menceritakan kisah dongeng menarik tentang perayaan ini. Antaranya dikhabarkan kisah kerajaan Negara China ketika itu hendak berperang dengan kerajaan Moghul. Bagi menyampaikan rancangan untuk menyerang kerajaan Moghul, kerajaan China telah menulis arahan tersebut dan diselitkan di dalam kuih bulan kerana orang Moghul tidak makan kuih tersebut.

“Alhamdulillah, sambutan masyarakat Tionghua sangat bagus dan mereka begitu menghargai usaha kita mengedarkan kuih bulan kepada mereka “, ujar Puan Serena.

Selain itu menurut beliau, bagi meluaskan kerjasama dengan orang luar, LPN Kemaman telah mengadakan Program Mengacau Bubur Asyura pada 7 November baru-baru ini. Program tersebut dianjurkan bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Bubur asyura diedarkan kepada masyarakat sekeliling.

“Bagi program Cakna LPN Dungun pula kami menziarahi seorang lelaki Tionghua yang berumur 56 tahun menderita Kanser Tiroid di Batu 5, Paka. Seperti biasa, ziarah kami disertai MP Dungun, YB Wan Hassan Ramli dan Adun Paka, YB Ustaz Saiful Bahri Mamat,” tambah beliau lagi.

Puan Serena amat mengharapkan LPN dapat menyatukan ukhuwwah di antara kaum dan tidak mahu kaum bukan Islam merasa terpinggir. LPN bertindak sebagai duta dan wakil PAS untuk menyantuni mereka. Mereka mahu menyampaikan mesej bahawa Islam itu adil dan sesuai dengan slogan PAS 4 ALL.

“InsyaAllah kita akan merancang program-program yang semestinya untuk mendekati dan memahami mereka. Kita harap mereka dapat membezakan antara kebenaran dan kebathilan. Pelbagai serangan dan fitnah yang dilemparkan terhadap PAS kini. Kita akan teruskan kerja kita untuk menyebarkan dakwah dan kebaikan.” Puan Serena mengakhiri ucapan beliau.