Mangsa Kebakaran Perlu Bantuan, Bina Rumah Baru

1714

MIRI – Kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah pada tengahari Selasa lalu di Kampung Pujut Tanjung Batu telah menyebabkan penghuni rumah tersebut tinggal sehelai sepinggang.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Kasuma Amin, kejadian berlaku ketika beliau tidak ada dirumah dan hanya anak-anaknya tiga beradik [gambar kiri] yang berada di rumah tersebut tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting.

Selain rumah hangus, kebakaran itu turut menyebabkan tiga buah kenderaan musnah sama sekali kerana tidak sempat dialihkan ke tempat selamat.

Pihak Bomba dan Penyelamat dilaporkan lambat bertindak menangani kebakaran tersebut.

“pihak bomba agak lambat sampai ke tempat kejadian disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Bila sampai ke tempat kejadian, rumah sudah musnah sama sekali dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba,”ujarnya

Tiga Beradik Yang Selamat Dari KebakaranKasuma dan keluarganya kini hanya menumpang di bangunan Persatuan Melayu Miri sementara mencari tempat tinggal baru.

Beliau berharap dapat membina rumah baru yang sesuai untuk kehidupannya sekeluarga dan berharap dapat dari pihak PPRT.

“Kos untuk membina semula rumah memang agak tinggi dan tentulah sukar untuk mereka menyiapkan rumah baru dalam masa terdekat, mungkin pihak PPRT boleh membantu,”ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Miri melahirkan simpati akan nasib yang menimpa mangsa kebakaran tersebut.

Yang DiPertuanya Haji Jofri Jaraie telah menziarahai mangsa kebakaran dan memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh keluarga mangsa akibat rumah mereka musnah dalam kebakaran itu.

Oleh itu, beliau merayu bagi pihak keluarga terbabit agar pihak-pihak berkenaan dapat menghulurkan bantuna, termasuk mendirikan semula rumah.

“Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) perlu membantu membina semula rumah mangsa kebakaran untuk mengurangkan bebanan yang terpaksa ditanggung terutama sekali keluarga yang kurang berkemampuan.

“Kita mengesa pihak PPRT, Baitulmal dan badan kebajikan dapat sama-sama membantu meringan bebanan keluarga mangsa dengan segera. Budak-budak yang akan bersekolah pada tahun hadapan juga perlu bantuan membeli seragam sekolah serta buku-buku teks,”ujarnya

Mengulas lanjut tentang tragedi kebakaran yang sering berlaku, beliau berkata perkara tersebut sepatutnya diberi perhatian serius.

Rumah Musnah Kg Pujut Tanjung Batu“Masalah kebakaran yang sering terjadi beberapa minggu di Miri sepatutnya diberi perhatian oleh pihak bomba dan mereka yang berkenaan.

“Mengapa ianya sering terjadi, adakah disebabkan oleh kecuaian, lintar pintas atau pun sebab pengkhianatan dan sebagainya?

“Pihak kerajaan perlu menyiasat punca sebenar kejadian dan juga perlu segera membina semula rumah mangsa yang kurang berkemampuan,”jelasnya.

Antara mereka yang perlukan bantuan segera, kata Haji Jofri adalah keluarga mangsa kebakaran yang kehilangan anak di Sungai Dalam beberapa minggu yang lalu.

Katanya, rumah mereka juga musnah sama sekali dan mereka perlu tempat tinggal kerana mereka masih lagi menumpang di rumah jiran.

“Kita yakin pihak PPRT boleh membina semula rumah dengan peruntukan bajet khas untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita harap masalah ini dapat diatasi dengan segera demi kebajikan rakyat yang jadi mangsa kebakaran dan sebagainya (dan) kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai,”ujarnya