Oleh : Khairul Nizam Abdullah
KUALA TERENGGANU – Pengaruh-pengaruh kuasa asing yang cuba campur tangan dalam negara ini, sama ada dalam bentuk politik atau ekonomi sepatutnya dihindarkan sejauh-jauhnya.
Setiusaha PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia mempunyai maruah dan harga diri yang mesti dipelihara dan dipertahankan.
“Alhamdulillah, negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan Ke-60 pada 31 Ogos 2017 ini,
“Umur kemerdekaan negara kita sudah masuk usia emas, satu tempoh yang cukup matang bagi sebuah negara,” ujarnya.


Menurutnya, Malaysia sepatutnya berdiri megah sebagai negara yang merdeka yang bebas daripada cengkaman kuasa-kuasa luar yang merupakan penjajahan bentuk baharu.
“Konsep kemerdekaan yang sebenar adalah kita membebaskan diri kita daripada perhambaan terhadap sesama makhluk kepada perhambaan kepada Allah semata-mata,” jelasnya.
Justeru, beliau mengharapkan agar negara Malaysia yang tercinta ini akan terus maju dan makmur di bawah payung syariat melalui kepimpinan yang tunduk patuh kepada Penciptanya.




























