Majlis Syura Ulama: Entiti Semak Dan Imbang PAS Yang Efektif

123

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS dalam tujuh dasawarsa telah bergulat dengan lapangan dakwah tarbiah dan siasah, merentas gelora tekanan politik regim sehinggalah menikmati kejayaan menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan dan berkuasa di tiga buah negeri. Keanggotaannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan, usaha meremehkan PAS dibuat oleh para pembenci. Ramai sarjana Sains Politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama Serta dasarnya yang kukuh. Pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak.

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, seputar isu pimpinan bersifat “pasu bunga” terhadap isu judi, gran sekolah persendirian Cina, pengiktirafan kepada UEC walhal banyak perkara di luar bidang kuasa Menteri PAS. Media sosial digunakan semaksima mungkin untuk mengikis penghormatan kepada PAS serta mencederakan wibawa ulama PAS.

PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura ulama, sebuah badan yang yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS. Badan ini menjadi ‘vanguard’ yang berautoriti dan mesti dilihat “bersih” para pengawal dalam entiti terpenting parti ini.

Semarak kebangkitan Islam telah menjelmakan konsep kepimpinan ulama, PAS dengan agresif mewajahkan wataknya yang tertegak diatas tunjang dakwah, tarbiah dan siasah. Penubuhan Majlis Syura Ulama adalah cetusan bagaimana PAS berinteraksi dengan transformasi kepimpinan itu. Badan yang menghimpunkan ulama berwibawa mentarjih halatuju dan perjalanan parti Islam tertua di negara ini, penyambung legasi Hizbul Muslimin yang diharamkan pada tahun 1948.

Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Berdasarkan kepada skala tugas yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS, maka jelaslah penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah kearah mengukuhkan lagi kedudukan “DNA” PAS iaitu ulama yang berperanan dan dihormati.
ulamak di dalam gerakan Islam ini dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulamak tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70an.

Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada Nov 1987. Uniknya beliau juga Presiden PAS saat itu.

Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam. Ustaz Haji Yusuf Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulama ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusuf Rawa, 1987:18)

Penubuhan Majlis Syura Ulamak tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti. Kedudukan ulama PAS yang sebelum ini agak dikesampingkan, akhirnya telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan. Ini merupakan asas perubahan yang begitu
drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS.

Dalam sejarahnya ramai tokoh sarjana Islam menganggotai Majlis ini seperti Prof.Dr Abdul Aziz Hanafi, Prof Dr Rashid Dail, Prof Dr Salleh Ahmad, Dr Sabri Salamon, Prof Madya Dr Johari Mat, Prof Dr Kamaruzaman Yusuf, Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Dr Harun Din, almarhum Tuan Guru Yahya Junid, almarhum Dato Harun Taib dan ratusan nama sarjana Islam dalam tempoh tiga dekad ini. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul Am yang kedua dan dibantu oleh Prof. Dato Dr Harun Din. Abnaul harakah wajib berterimakasih atas keberadaan majlis ini dalam parti Islam kerana mereka adalah vanguard atau pengawal yang meluruskan perjalanan parti Islam ini, bak kejora dilangit malam.

Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara ini, maka tak pelik jika segala isu berkaitan dengan Islam maka PAS akan terus diserang dan dihujat oleh netizen. Sejujurnya, rakyat mengiktiraf peranan PAS dalam menggalang wibawa dalam apa jua persoalan rakyat, menyebut nama PAS dalam sendu atau bahagia. Nama PAS diratib walaupun mereka membenci PAS, semoga “DNA” PAS terus terpelihara!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)