Sejarah baru tercatat, apabila buat pertama kalinya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) dan DAPSY Wilayah Persekutuan bersetuju untuk berkolaborasi sebagai sebuah angkatan pemuda bagi menjuarai isu rakyat ibu kota.
Menurut Ketua DPPWP, Ir. Haji Khairil Nizam Khirudin wakil AMK WP tidak hadir kerana beliau dimaklumkan, AMK Pusat masih belum melantik kepimpinan pemuda di setiap negeri.
“DPPWP & DAPSY WP berhasrat meneruskan agenda dan kami akan mengalu-alukan AMK WP bersama kami selepas lantikan tidak lama lagi.
“Pertemuan kali kedua ini berlangsung selepas pertemuan pertama yang diadakan secara santai pada bulan Ramadhan yang lalu.
“Pertemuan pertama tempohari lebih bersifat sesi perkenalan dan pertukaran idea mengenai organisasi masing-masing sambil berbuka puasa bersama-sama,”ujar Khairil Nizam.
Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan pertemuan kedua ini lebih serius membincangkan isu rakyat yang ingin dijuarai oleh Pemuda PR di Wilayah Persekutuan dan persetujuan telah dicapai untuk mengadakan Mesyuarat Majlis Pemuda PR WP secara berkala iaitu 3 bulan sekali.
Selain itu, kata beliau, agenda bertindak dalam masa terdekat ialah dengan menengahkan isu daftar pemilih baru. Satu memorandum bersama akan dihantar ke SPR WP dalam masa yang terdekat.
“Memorandum ini akan mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan dan desakan kepada SPR bagi mendengar suara pengundi muda.
“Tanpa melupakan iklim rakyat kini yang kian keluh kesah dengan pembentangan Bajet 2015, DPPWP dan DAPSY berikrar akan menjalankan beberapa siri wacana dan penerangan kepada anak muda khusus berkenaan implementasi GST, rasionalisasi subsidi, subsidi bersasar dan sebagainya,”tegasnya.
Oleh itu, beliau berharap, Majlis Pakatan Rakyat Pemuda WP yang ditubuhkan dan akan beroperasi itu menjadi ‘senjata baru’, yang bakal menerobos kubu BN pada PRU 14 dan memimpin kebangkitan anak muda ibu kota pada masa depan.










