Mahfuz; Nazri Usah Angkuh, Tarik Balik Ungkapan Bodoh

1084

PAS membantah dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan yang mengatakan hanya orang bodoh sahaja berbicara soal Hudud di Malaysia ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Dato’ Mahfuz Omar, kenyataan ini bernada angkuh dan bersifat menghina pihak yang memperjuangkan perlaksanaan Syariat Allah melalui jalan demokrasi.

“Subjek perundangan Islam ini turut diajar di universiti, pusat pengajian ilmu, masjid oleh para mufti, cendekiawan dan ilmuan Islam. Adakah Menteri ingin mengatakan mereka semua ini adalah bodoh.?

“Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu telah pun mendapat kelulusan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan. Ia melalui proses demokrasi yang telus dan terbuka maka usahlah Menteri bersikap tidak demokratik.

“Adakah perbincangan untuk melaksanakan perkara mulia yang merupakan sebahagian tuntutan Islam itu juga adalah suatu kesalahan.?,”soal Mahfuz.

Bahkan dalam kenyataanya, Mahfuz yang juga Ketua ‘Whip’ Ahli Parlimen PAS menyatakan, Menteri sendiri baru-baru ini mendapat Anugerah Doktor Kehormat daripada Universiti Islam Pattani, Thailand.

Universiti tersebut kata beliau, pasti adanya subjek perundangan Islam.

“jadi adakah mereka di universiti tersebut dikatakan bodoh juga pada hemat Menteri.? Jika mereka itu pun bodoh maka Menteri pun menjadi bodoh juga kerana menerima anugerah dari universiti yang bodoh,”tegasnya.

Oleh itu, PAS mendesak YB Dato’ Seri Mohamed Nazri menarik kembali kenyataan tersebut.

“Usahlah kita berlagak mendongak langit sedangkan alam semesta yang kita hidup ini adalah ciptaan Allah. Saya risau sekiranya selepas ini,

“hendak bermimpi undang-undang Islam terlaksana pun tidak boleh kerana ia boleh dikategorikan perkara bodoh pada pandangan Menteri,”tambah beliau.