KUALA LUMPUR – Serangan ke atas pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sudah bermula – sekali lagi dalam bentuk kritikan pedas daripada mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kelmarin, Dr Mahathir dipetik oleh pihak media Malaysia sebagai berkata bahawa pentadbiran perdana menteri negara itu sekarang “lemah” dan merasakan ia harus melayani “permintaan tidak munasabah” golongan pelampau, khususnya daripada pihak pembangkang, untuk kekal relevan kepada awam.
Selaran pedas Dr Mahathir terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib itu, bagaimanapun, tidak mengejutkan ahli politik dan pengamat di Malaysia, yang berpendapat bahawa kekalahan Datuk Mukhriz Mahathir, anak mantan perdana menteri paling lama memerintah Malaysia itu, merebut jawatan naib presiden Umno ketika pemilihan pemimpin parti itu, baru-baru ini, menjadi mangkin bagi serangan tersebut.
Mereka berpendapat, kemarahan Dr Mahathir itu adalah tidak wajar kerana Datuk Seri Najib sedang menghadapi sebuah masyarakat lebih terbuka berbanding sekitaran ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003, lapor portal berita The Malaysian Insider (TMI), semalam.
Kelmarin, Dr Mahathir berkata “puak pelampau” telah menguasai Malaysia, sedang Barisan Nasional (BN) bersusah payah untuk menangani sokongan awam yang semakin susut walaupun masih mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan.
“Suasana politik sekarang tidak stabil kerana tanggapan bahawa kerajaan lemah dan puak pelampau kini menguasai politik di negara ini,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan dasar pada sesi Syarahan Perdana Siri ke-17 di Putrajaya, seperti ditukil portal berita The Malay Mail.
“Kita mempunyai kerajaan yang lemah kerana sokongan lemah daripada rakyat, dengan kecondongan untuk menyetujui desakan para pelampau dalam pembangkang.
“Paling teruk ialah bahawa mereka membuat desakan melampau untuk menggulingkan kerajaan… kerajaan boleh menyingkirkan apa yang mereka tidak suka, tetapi jika anda fikir bahawa mereka akan kemudian berkata ‘terima kasih, kami akan sokong anda sekarang’, anda silap,” katanya lagi tanpa menamakan sebarang kumpulan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Shabery Cheek, mempertahankan Datuk Seri Najib sambil berkata perdana menteri itu tidak tunduk kepada pembangkang dan sebaliknya memimpin kerajaan yang kukuh dengan mandat terbaru daripada parti.
“Kritikan Najib tunduk kepada pembangkang tidak betul. Beliau melakukan apa yang perlu dilakukan, iaitu mengamalkan dasar lebih terbuka,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.





























