Luaskan Jaringan Sebar Dakwah

186

Oleh : Safiyyah Nur Amani

KUALA TERENGGANU – Muslimat diseru agar meluaskan lagi jaringan penyebaran dakwah dan maklumat kepada masyarakat secara berterusan.

Ketua Muslimat PAS negeri Terengganu, Hajah Zarani Othman berkata, tindakan tersebut perlu diambil perhatian kerana musuh pada saat ini tidak tidur malam merancang agenda meruntuh dan menjatuhkan Islam.

“Muslimat tidak terkecuali menjadi sebahagian ejen penerangan dan penyebaran maklumat melalui media baharu yang menjadi tumpuan utama masyarakat.

“Hari ini, ramai anak muda mencari jalan, terkapai-kapai membina jiwa dengan pelbagai kefahaman yang tidak selari dengan Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu kali ke 50 di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai, pada semalam.

Justeru itu, beliau menyeru kepada muslimat muda agar menjuarai generasi milenial di era persaingan tanpa sempadan.

“Aktifkan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan kerana keperluan kita bina hubungan dan rapat dengan rakyat.

“Kita perlu juga menjadi ejen dan jurucakap menyalurkan mesej kerajaan dan parti kepada semua,” tambah beliau.