Oleh Dr Riduan Mohamad Nor
Langit lazuardi menaungi Kota Kabul yang berselimut kejerihan, angin dingin seperti menyimpan duka beratus tahun. Kesejukan seolah menambat tiang hati kita pada rawan yang panjang, entahlah bagaimana kita menakrifkan erti musim sejuk. Bagi yang mempunyai banyak wang,musim sejuk mencengkam hanyalah perubahan alam. Kelompok rakyat jembel pula ,skru akal mereka pasti memikirkan baju sejuk, dapur yang berasap serta penginapan yang memadai kerana malam mereka sangat panjang. Anak muda atau separuh baya mungkin menganggap musim dingin adalah musim mengawan,berhibernasi dan seterusnya menunggu tempoh sembilan bulan untuk acara tahnik anak bongsu terbaru!.
KDNK nominal Afghanistan dianggarkan sekitar USD 17.3 billion hingga 20 billion ( anggaran 2024-2025), ini melambangkan kitaran ekonomi yang sangat tak berdaya saing. Negara bergunung ganang ini walaupun ada peningkatan dalam transit perdagangan namun keseluruhan ekonominya masih rapuh ( fragile) .
Lima tahun dahulu, mataku memandang dan menatap kosong pada sekumpulan anak- anak kecil yang ada dimana- sahaja ruang Kota Kabul ini. Ada sejumlah 1.5 juta anak yatim ,juga dua juta ibu tunggal di negara yang bergelut dengan peperangan selama empat dekad. Keamanan seolah satu nikmat shurga dunia bagi mereka, menghurung angka kematian bukanlah sesuatu yang luarbiasa. Minggu ini beberapa letupan bom berlaku di kota Kabul bagi mengesahkan negara ini belum lagi aman. Lelaki berserban hitam, malah beruniform tentera mengawal ketat pergerakan manusia. Dijalanan, pemandangan kenderaan pacuan empat roda dengan senjata JPMG adalah perkara biasa. Sehingga tempoh lima tahun Amerika meninggalkan tanah jihad ini, seramai 2.8 juta pelarian Afghanistan telah kembali ke kampong halaman mereka. Sebahagian besar pelarian ini mengungsi di Pakistan, negara jiran yang sangat prihatin sejak perang 1979 dengan Soviet.
Mengatakan Afghanistan telah aman sepenuhnya adalah seperti mengatakan Madonna masih perawan!. Ledakan bom ditempat awam masih lagi menjadi tajuk berita dunia. Bagiku kanak- Kanak adalah kelompok paling terjejas. Seawal pagi mereka menghiasi setiap lorong Kota, berjualan apa sahaja yang boleh dijual. Di pekan sempadan Iran Afghanistan, Islam Kala akan menyaksikan ratusan kanak- Kanak tanpa pendidikan menjadi kuli kasar pengangkut bagasi. Mereka memenuhi bangunan imegresen,kawasan ” no man land”, tanpa segan meminta sedikit wang untuk mengalas perut yang lapar. kanak-Kanak ini agresif ,seolah ” abang Long” kawasan yang berkongsi kuasa dengan kerajaan Toliban.
Aku teringatkan kanak-Kanak di Gaza yang beradab dengan tetamu, mempamerkan guratan wajah terhias senyuman, berkongsi makanan seperti kek atau coklat yang diagihkan. kanak-Kanak Afghanistan adalah cermin sketsa peperangan , ramai kalangan mereka adalah anak yatim termasuk sahabat kami ,Abdul Rahim ,seorang akademisi tempatan yang kehilangan bapa kandungnya saat berumur dua tahun. Tak pelik jika pensyarah kampus itu begitu obses untuk membantu anak yatim.
Afghanistan rasa aku jika tak dikawal oleh kerajaan bernuansa Islam,keadaan negara bergunung ganang ini sukar untuk mencicip keamanan. Multi etnik disini seperti Pashtun, Tajik, Uzbek, Hazara, Baluch paling sukar untuk bersatu, memang mereka diakui bangsa pemberani namun itu tak cukup untuk membangunkan sebuah negara. Aku teringatkan intipati pertemuan dengan Timbalan Presiden IHH Turki suatu ketika di Kota Istanbul, ” Kanak- Kanak adalah generasi masa depan yang akan membina negara, sebab itulah kami mempersiapkan Kompleks pendidikan Madinatul Aitam di Rayhanli. Mereka adalah kelompok paling terjejas akibat peperangan. Syria bila berakhir peperangan mesti dibangunkan kembali,maka pendidikan wajib diberikan kepada kanak-Kanak mangsa peperangan”, seolah berdengung kepala aku dengan ingatan tulus itu. Afghanistan dengan masalah yang sama , lima tahun selepas ditinggalkan Amerika bukan mudah membina generasi. Kadar buta huruf masih tinggi, kegagalan membangunkan generasi muda akan memberikan impak kepada pencitraan imej Islam oleh kerajaan Emiriah Islam Afghanistan.
Sebelum ini, NGO Turki adalah barisan paling hadapan membantu umat Islam dipelbagai peta luka umat, mereka bukan sahaja melapik perut insan yang susah namun paling penting ialah membina banyak rangkaian pendidikan. Malangnya di Afghanistan ,banyak Institusi pendidikan diperingkat tinggi telah ditutup akibat kekurangan dana sebaik sahaja Amerika keluar daripada Afghanistan. Sekatan antarabangsa terhadap Afghanistan seperti membunuh masa depan kanak-Kanak , dunia Islam wajib berbuat sesuatu agar pemulihan negara skala mega dapat dilaksanakan.
Kenangan lima tahun lalu, kanak-Kanak Afghanistan yang aku temui dan lihat dalam misi kemanusiaan Afghanistan kali ini sangat menderita. Musim sejuk mencengkam,namun pakaian mereka tak sempurna, tak sempurna gizi makanan, paling aku sedih apabila mereka tak dapat membaca serta menulis. Unjuran masa depan dapat kita tebak bila keadaan ini berlaku, sebuah negara yang diasosialisasi dengan Islam namun menjadi negara paling mundur dalam dunia. Impaknya akan terpaling hitam kepada agama Islam yang maha indah.
Dalam keterpurukan mereka, beberapa jenis sukan giat diceburi rakyat mereka. Jangan lupa pasukan futsal skuad Harimau Malaya pernah tewas 7-0 kepada pasukan Afghanistan di Velodrom Antarabangsa Jakarta minggu ini!. Dengan erti kata negara terpuruk ini juga boleh bingkas bangkit sebagaimana negara lain dalam pelbagai bidang.
Musuh Islam melakar konspirasi besar untuk memastikan negara ini terpuruk kebelakang, memalit rupa hodoh kepada penganut agama Islam dan inilah asas mengapa Afghanistan menjadi ” bogey” dalam permainan media antarabangsa. Untongnya bumi Afghanistan, walaupun dijajah oleh kuasa adijagat dunia namun mereka tak mampu membogelkan maruah wanita Afghanistan. Kita tak akan jumpa wanita mundar mandir tanpa alasan, juga Kanak- Kanak perempuan meminta sedekah. Adab budaya mereka juga sangat menjaga maruah wanita, tiada wanita menjual maruah diri di kawasan gelap Kota Kabul atau Herat.
” Untuk menghancurkan sesuatu tamadun, maka hancurkan wanita mereka”,kata kata itu membenah realiti kehidupan kontemporari. Media asing mengambarkan kerajaan Afghanistan menyekat ruang dan peluang wanita untuk mendapat akses dalam pendidikan dan kerjaya. Namun realiti dilapangan , 150 000 wanita berkhidmat dalam sektor kesihatan negara itu kata Dr Qalandar Jan, Menteri Kesihatan Afghanistan. Begitu jumlah pelajar dalam bidang pengajian tinggi semakin meningkat, namun kerajaan mengawal etika dan moral rakyat agar mematuhi piawaian Syariah.
Pengalaman menggalang misi kemanusiaan dipelbagai peta luka umat Islam,boleh aku sifatkan pengalaman di tanah khurasan ini paling berhàrga. Tanpa menafikan indahnya pengalaman di Gaza,namun misi kemanusiaan Afghanistan sangat rencam dan bewarna warni. Selepas lima tahun berdiri kerajaan Emeriah Islam Afghanistan, kondisi negara semakin membaik selain mendapat pengiktirafan pelbagai negara termasuk bekas penjajah mereka sendiri, Soviet.
Negara umat Islam wajib membantu negara ini untuk bangkit kembali. ” The graveyard of empire” mestilah harum mendunia dalam pelbagai bidang. Jiwa lasak mereka mestilah dituang untuk membangun industri , kucuran pelaburan luar daripada negara umat Islam untuk mengeluarkan Afghanistan daripada lingkaran ganas kemiskinan, terutama membangunkan pendidikan moden yang bertunjangkan falsafah pendidikan Islam.
(Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI )






























