Lima Faktor Bukti, Umno Terus Diperbodohkan Oleh Zahid Hamidi

366

Oleh : Bekas Ahli Umno

Umno hari ini bukan sahaja kalah dalam pilihan raya, malah kelihatan semakin hilang arah dan maruah politik. Di mata ramai ahli akar umbi dan pemerhati, punca utamanya jelas: kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang terus memerangkap parti dalam keputusan-keputusan songsang, bercanggah dengan sentimen penyokong, dan akhirnya memperbodohkan Umno sendiri.

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 lebih banyak mengekalkan Umno dalam status quo, daripada terus menambah pengaruhnya, bahkan gagal memulihkan pengaruh politik dan sokongan rakyat.

Malah dalam beberapa aspek, ia tidak membantu pengaruh Umno di mata pengundi baharu. PAU 2025 bukan pembaharuan dan menghantar mesej bahawa, kepimpinan sedia ada kekal, pemilihan ditangguhkan dan hala tuju tidak berubah

Bagi pengundi, natijah PAU 2025 dibaca sebagai “Umno masih parti lama dengan masalah lama.”

Kepimpinan Tanpa Mandat Moral

Selepas kekalahan terburuk Umno dalam sejarah PRU15, logiknya kepimpinan tertinggi perlu bertanggungjawab. Namun sebaliknya berlaku. Zahid bukan sahaja enggan berundur, malah mengukuhkan cengkaman kuasa. Kekal sebagai presiden tanpa mandat jelas daripada rakyat dan akar umbi menjadikan kepimpinannya lemah dari segi moral dan legitimasi politik.
Ahli Umno dipaksa akur, bukan diyakinkan. Ini bukan kepimpinan, ini paksaan terselindung atas nama disiplin parti.

Kerjasama Dengan PH: Pengkhianatan Naratif Sendiri

Umno selama bertahun-tahun membina naratif bahawa Pakatan Harapan, khususnya DAP, adalah musuh politik yang merosakkan kepentingan Melayu dan Islam. Namun di bawah Zahid, naratif itu dihancurkan dalam sekelip mata.
Tanpa perbincangan akar umbi yang tulen, Umno diseret masuk ke dalam kerajaan perpaduan. Ahli yang dahulu berkempen menentang PH kini dipaksa mempertahankan PH. Ini bukan strategi politik matang, tetapi penghinaan terhadap kecerdikan penyokong sendiri.

Keputusan PAU 2025 meneruekan okongan kepada Kerajaan Perpaduan melemahkan identiti dan hanya mengukuhkan kedudukan Zahid Hamidi, tetapi mengaburkan identiti Umno sebagai parti dominan Melayu

Umno Jadi Alat, Bukan Rakan Setara

Dalam kerajaan hari ini, Umno bukan penentu dasar. Ia sekadar penumpang yang menanggung beban kemarahan rakyat Melayu, sementara keuntungan politik dan moral dinikmati pihak lain. Umno dipersalahkan, tetapi tidak berkuasa. Menang sorak, kampung tergadai.
Lebih parah, Umno terpaksa mempertahankan dasar dan kenyataan yang bercanggah dengan identiti asalnya. Ini menjadikan parti kelihatan hipokrit dan terdesak.

PAU 2025 juga menjadikan, di mata pengundi Melayu, Umno dilihat menumpang kuasa bukan peneraju, akan sering dibandingkan secara negatif dengan PAS, menyebabkan Umno sukar mencipta emosi politik yang kuat.

Liabiliti Peribadi Dibayar Dengan Maruah Parti

Hakikat yang tidak boleh disangkal: isu peribadi Zahid menjadi beban besar kepada Umno. Setiap keputusan politik dilihat dari lensa “kepentingan diri”, bukan kepentingan parti atau bangsa. Umno seolah-olah dikorbankan demi kelangsungan seorang individu.
Parti yang pernah memerintah lebih 60 tahun kini dilihat sanggup menelan apa sahaja asalkan presidennya terus selamat dan berkuasa.

Umno Gagal Hormati Intelektual Rakyat

Umno hari ini tidak kalah kerana rakyat membencinya semata-mata, tetapi kerana ia gagal menghormati kecerdikan rakyat dan ahlinya sendiri. Selagi Zahid Hamidi terus memimpin dengan pendekatan elit, defensif dan tidak berjiwa rakyat, Umno akan terus diperbodohkan oleh keputusan yang lahir daripada ketakutan, bukan kebijaksanaan.
Jika Umno mahu bangkit, persoalannya bukan lagi strategi pilihan raya, tetapi keberanian untuk menukar kepimpinan dan mengembalikan maruah parti.