Penahanan Peserta Himpunan Aman Di Sekitar Sogo

317

Saya merujuk kepada klip video penahanan beberapa rakan seperjuangan dalam UMMAH yang berlaku di perkarangan Sogo, Kuala Lumpur pada semalam

Perhimpunan yang diadakan adalah bersifat aman, bertujuan menzahirkan manifestasi kedaulatan undang-undang serta keprihatinan rakyat terhadap isu pematuhan undang-undang dalam pembinaan rumah ibadat di atas tanah kerajaan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Kedaulatan Undang-undang Dan Tadbir Urus

Dalam sebuah negara berbilang agama dan kaum seperti Malaysia, tiada mana-mana pihak wajar diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang. Undang-undang digubal bagi membentuk masyarakat madani yang dipandu oleh peraturan, disiplin serta tatakelola yang baik.

Pembinaan mana-mana rumah ibadat di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya dihentikan serta-merta. Kelewatan atau sikap berdiam diri pihak berkuasa dalam tempoh yang lama boleh mewujudkan persepsi bahawa pelanggaran undang-undang tersebut telah di“condone”, sekali gus menjejaskan kewibawaan sistem perundangan negara.

Hak Berhimpun, Bersuara Dan Berpersatuan

Perhimpunan aman oleh NGO seperti UMMAH serta individu awam adalah hak yang dijamin secara jelas oleh Perlembagaan Persekutuan, antaranya:

Perkara 10(1)(a): Hak kebebasan bercakap dan bersuara

Perkara 10(1)(b): Hak berhimpun secara aman dan tanpa senjata

Perkara 10(1)(c): Hak menubuhkan persatuan

Sebarang sekatan ke atas hak-hak ini mesti bersifat munasabah, berlandaskan undang-undang, dan tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya.

Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi dalam pelbagai keputusan telah menegaskan bahawa hak berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada asas demokrasi, dan pihak berkuasa tidak boleh menghalang atau menyuraikan perhimpunan hanya kerana ketidakselesaan politik atau tekanan pihak tertentu, selagi tiada unsur keganasan, ancaman keselamatan atau pelanggaran nyata undang-undang.

Antara prinsip yang sering ditegaskan mahkamah ialah:
Hak berhimpun bukan suatu keistimewaan yang diberikan kerajaan, tetapi hak asasi yang dijamin Perlembagaan, dan tugas pihak berkuasa adalah memudah cara, bukan menyekat.

Tindakan PDRM Kebimbangan Salah Guna Kuasa

Dalam insiden ini, peserta hadir secara aman, tanpa provokasi, tanpa senjata, tanpa perosakan harta awam, dan tanpa sebarang unsur keganasan. Namun tindakan pantas menahan dan menyuraikan perhimpunan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap prinsip kebebasan berhimpun serta kesaksamaan penguatkuasaan undang-undang.

Keadaan ini mencetuskan kebimbangan bahawa telah berlaku penggunaan kuasa secara berlebihan atau terpilih, selari dengan kepentingan politik semasa, dan bercanggah dengan semangat kebebasan awam yang sering dilaungkan oleh kerajaan hari ini.

Ironinya, tokoh politik yang kini menerajui kerajaan, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, suatu ketika dahulu lantang mengkritik tindakan kerajaan yang menyekat rakyat daripada berhimpun secara aman. Realiti hari ini memperlihatkan tindakan yang hampir serupa berulang dalam bentuk dan wajah yang berbeza.

Seruan Kepada Rakyat

Justeru, saya menyeru rakyat Malaysia agar membuka mata dan menilai secara jujur hala tuju pentadbiran negara ketika ini.

Banyak tindakan yang dilihat tidak selari antara kata dan perbuatan, penguatkuasaan undang-undang yang bersifat terpilih, serta pencabulan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan bukan ancaman kepada negara, sebaliknya asas kepada negara yang adil, matang dan berdaulat.

Dari Ummah, Untuk Ummah

Wan Mohd Faizul Wan Abas
UMMAH Terengganu
7 Februari 2026