Lima Ditahan Tawar Projek Naik Taraf Jalan Bernilai RM442 Juta

1657

KUALA TERENGGANU – Lima individu ditahan kerana menawarkan projek menaik taraf jalan raya bernilai RM442 juta kepada kontraktor di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, Supt Koh Ah Thiam (Gambar) berkata suspek utamanya berumur sekitar 40-an yang menyamar sebagai Datuk Paduka dan mendakwa bekerja di Istana Terengganu.

Koh Ah ThiamBeliau berkata namun individu tersebut bekerja sendiri dan menawarkan projek berkenaan menerusi WhatsApp.

Projek itu didakwa telah diperoleh sedangkan ia baharu di peringkat cadangan kerajaan negeri dan belum mendapat kelulusan kerajaan persekutuan, katanya.

“Suspek mengenakan bayaran yang dikatakan sebagai bayaran komitmen antara RM600,000 hingga RM1 juta.

“Bagaimana pun suspek gagal mendapat bayaran tersebut kerana penyamarannya terbongkar selepas kontraktor membuat semakan dengan pihak berkaitan,” kata Koh.

Beliau berkata sekeping kad kononnya berupa kad keahlian Istana Terengganu yang didapati palsu turut dirampas.

Pihak kontraktor yang mendapat tawaran projek sebegitu diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes berkenaan, katanya.- BERNAMA