Tindakan Arab Saudi melarang wanita daripada memandu tidak mendapat mandat daripada mana-mana teks undang-undang Syariah Islam yang menjadi asas kebanyakan undang-undang negara itu, kata ketua polis keagamaan Arab Saudi kepada agensi berita Reuters kelmarin.
Sheikh Abdulatif Al al-Sheikh [Gambar kiri], menekankan beliau tidak mempunyai kuasa mengubah dasar negara itu tentang membenarkan wanita memandu tetapi komen beliau akan diberikan perhatian dalam perbincangan kebangsaan di Arab Saudi.
Pada masa lalu, wanita pernah diberkas kerana tidak menghiraukan larangan memandu.


Walau tanpa undang-undang khusus melarang wanita daripada memandu, wanita yang mengingkari larangan itu telah diberkas oleh anggota polis dan dibicarakan atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam.
“Syariah Islam tidak mempunyai teks melarang wanita daripada memandu,” kata Encik Al al-Sheikh, yang dilantik Raja Abdullah tahun lalu untuk memimpin Suruhanjaya bagi Mempromosikan Kebaikan dan Mencegah Maksiat, nama rasmi polis keagamaan.
Raja Abdullah telah melaksanakan pembaharuan sosial dan ekonomi secara berhati-hati di negara pengeksport minyak utama itu, termasuk usaha memberikan wanita peranan lebih menonjol dalam masyarakat.
Menurut Encik Al al-Sheikh, dalam peranannya sebagai ketua polis keagamaan, beliau tidak membuat dasar tetapi melaksanakan peraturan dan undang-undang kerajaan itu.
Katanya, polis keagamaan tidak memburu atau menahan wanita daripada memandu sejak beliau menjadi ketua pertubuhan itu dan menambah bahawa beliau tidak mengetahui tentang kes-kes seumpama itu sejak beliau dilantik.
Pasukan polis keagamaan Arab Saudi ditubuhkan sebagai institusi tidak rasmi pada 1930an bagi menguatkuasakan akhlak awam mengikut tafsiran tegas undang-undang syariah daripada fahaman Wahabi negara itu.
Ia kini cabang kerajaan dengan kakitangan tetap dan belanjawan tahunan.
Encik Al al-Sheikh telah cuba memperbaiki imej badan itu sejak 18 bulan lalu dengan mengawal ketat anggota yang bertindak melebihi bidang kuasa mereka dan menggalakkan pendekatan lebih ihsan dalam urusan mereka dengan orang awam.
“Kami laksanakan undang-undang dengan tegas jika anggota Suruhanjaya (bertindak) melebihi bidang kuasa mereka. Kami tidak benarkan mereka tafsirkan undang-undang sendiri.” katanya. – Reuters.




























