Lagi Resolusi PBB Menuntut Syria Hentikan Keganasan

1093

Resolusi baru yang menyokong pelan Liga Arab menggesa Presiden Syria, Bashar Al-Assad, berundur dan mengecam keras pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan rejimnya.

Namun begitu, China, Russia dan Iran menentang teks yang diusulkan olh negara-negara Arab dengan sokongan kuasa Barat, hanya beberapa hari setelah Beijing dan Moscow memveto resolusi serupa semasa mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

[Gambar – Duta Russia tidak menyokong, semasa undian kepada resolusi terbaru terhadap Syria]

Sokongan kuat bagi resolusi itu menambah tekanan terhadap Assad supaya menghentikan keganasan yang menyebabkan 41 orang terbunuh, kelmarin, sedang pasukan keselamatan terus menyerang tempat-tempat yang masih menganjurkan bantahan.

Timbalan Duta Besar Mesir ke PBB, Encik Osama Abdelkhalek, berkata perhimpunan itu telah memberikan mesej jelas kepada Damsyik:  ‘Sudah tiba masanya untuk mendengar suara rakyat.’

Sebaliknya, rakan sejawatannya dari Syria, Encik Bashar Jaafari, menyelar negara-negara Arab lain dan menuduh kuasa Barat mempergunakan Liga Arab untuk mengantarabangsakan krisis itu.

Sementara itu rakan sejawatannya dari Iran, Encik Mohammad Khazaee, memberi amaran bahawa resolusi itu akan hanya memburukkan krisis di Syria dan kesannya akan terasa di seluruh rantau Timur Tengah.

Awal sebelum itu, pihak pembangkang di Syria menolak perlembagaan yang baru digubal yang mungkin mengakhiri pemerintahan satu parti di negara itu dan menggesa pengundi memboikot pungutan suara 26 Februari mengenai piagam itu.

‘Draf perlembagaan itu tidak lebih daripada alat politik atau kertas dasar yang ditulis rejim yang kejam,’ kata Jawatankuasa Penyelaras Tempatan, kumpulan aktivis pembangkang utama,

‘Kita tidak melihat sebarang alternatif kecuali menumbangkan rejim,’ kata kumpulan itu lagi.

Satu lagi kumpulan pembangkang, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Perubahan Demokratik, juga merancang memboikot undian pungutan suara itu.

‘Kami tidak mungkin mengambil bahagian dalam pungutan suara ini sebelum keganasan dan pembunuhan dihentikan,’ kata ketua kumpulan itu, Encik Hassan Abdel Azim.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan sekitar 6,000 orang telah terkorban sejak keganasan selama 11 bulan berlaku di Syria.- sumber AFP.