Kuatkuasa Tulisan Jawi ke Seluruh Negara

3851

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berharap tiada lagi mana-mana pihak yang biadab membantah penggunaan dan pemerkasaan tulisan Jawi dalam negara.

Dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 menyebutkan Bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama dan rasmi. Manakala tulisan dalam Bahasa Melayu adalah tulisan Jawi dan Rumi.

Keputusan tegas oleh Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan ADUN Tras, Chow Yu Hui dalam isu mencabar penggunaan tulisan Jawi adalah tindakan tepat dalam melaksanakan agenda negara tanpa tolak ansur.

PAS menyeru supaya kerajaan-kerajaan negeri dapat mengikuti jejak langkah kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu dalam usaha kuatkuasakan penggunaan tulisan Jawi sepertimana yang pernah diterapkan dalam negara kita suatu ketika dahulu dalam pelbagai dokumen rasmi termasuklah dokumen pengisytiharan kemerdekaan.

Seluruh rakyat tanpa mengira bangsa mestilah bersama-sama mendukung usaha memperkasakan penggunaan tulisan Jawi agar tidak hilang ditelan zaman kerana ia merupakan identiti berharga kepada negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
21 November 2020 | 5 Rabiul Akhir 1442