Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Umat Islam di negara ini perlu bersungguh-sungguh untuk menguasai rantaian pembekalan barangan dalam usaha membina kekuatan ekonomi ummah.
Pengerusi Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata demikian ketika berucap merasmikan Pasar Mini Koperasi Putih Sakinah , di Kampung Mak Cili, di sini, pada 1 September.
“Rantaian pembekalan inilah yang akan menentukan bagaimana harga dibuat di peringkat runcit, pembekalan dan kedai juga lengkap-melengkapi, kalau ada kedai runcit dan tidak ada sumber bekalan, tutuplah kedai runcit dan begitu juga sebaliknya.
“Rantaian pembekalan itu kini berada di tangan orang lain, semua orang sedia tahu, ia bukan berada di tangan kita.
“Maka kalau hendak wujudkan suatu rangkaian pembekalan yang luas, orang-orang Islam perlu wujudkan banyak pasar raya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus merakamkan rasa teruja sebaik sahaja dijemput merasmikan pasar mini itu kerana aktiviti ekonomi yang dijalankan adalah seiring dengan perancangan beliau di lajnah yang dipengerusikannya.
“Oleh kerana perjuangan kita untuk bersama-sama mengangkat martabat ekonomi ummah, maka saya tidak bertangguh menerima pelawaan malam ini sebab mahu bagi semangat kepada tuan-puan dan juga mengambil semangat dari semua yang hadir,” tambah beliau.
Koperasi Putih Sakinah Kemaman Berhad (KPS) yang diluluskan pendaftaran pada 13 September 2018 tahun lalu, adalah inisiatif Lajnah Ekonomi PAS Dewan Undangan Negeri(DUN) Air Putih untuk memperkasakan ekonomi ummah sebaik sahaja memenangi kerusi DUN Air Putih dalam PRU-14 lalu.
Seramai 139 orang telah menjadi ahli dan pihak KPS masih membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menyertainya dengan yuran keahlian RM100 dan bayaran RM10 ketika mendaftar.



























