Kuasai Pengundi Muda Tugas Utama, Bapa Segala PRU

371

ALOR SETAR – PAS berpendirian menguasai pengundi muda menjadi tugas utama kepada semua gerak kerja jentera parti itu.

Presiden PAS, Tan Sri’ Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kelompok itu akan menjadi penentu kepada kemenangan pilihan raya mengikut konsep demokrasi

“Terkini, faktor kritikal kemenangan PAS dalam PRU-15 ialah sejauh mana jentera pilihan raya berupaya menguasai sikap pengundi muda yang sebahagian besarnya merupakan pengundi kali pertama yang dikatakan tidak berminat dengan isu-isu politik.

“Undi penentu daripada kalangan pemuda dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan ‘Ucapan Dasar Presiden PAS’, di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 68, Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Tegasnya, kejahilan anak muda terhadap politik akibat kesan daripada serangan pendidikan melalui pendidikan dan media.

“Khususnya terkini oleh media sosial yang dirancang dengan perbelanjaan yang besar, maka perlu ditangani dengan kesungguhan dan berhikmah.

“Bagi menghadapi faktor kritikal ini, jentera pilihan raya hendaklah berupaya menguasai maklumat anak muda dengan menguruskan maklumat melalui Bilik Operasi Bersepadu, dan memaksimumkan keupayaan kempen media baharu bagi menyantuni mereka.

“Pemuda dan Muslimat PAS perlu bergerak secara kreatif dan inklusif bagi menarik sokongan anak muda dan wanita yang akan menjadi ‘undi penentu’ dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, “ujarnya.


Sementara itu, Setiausaha Agong PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Pilihan Raya Umum Ke- 15 dianggap sebagai bapa segala PRU oleh penganalisa politik.

Oleh kerana itu adalah penting untuk parti menyusun segala strategi dan perancangan.

“Perikatan Nasional (PN) telah mengkaji untuk menghadapi PRU Ke-15 yang semakin dekat, segala urusan persiapan kita serahkan kepada pimpinan untuk menentukan perancangan dan strategi.

“Saya percaya para perwakilan akan berbahas dengan baik untuk memberikan Segala buah fikiran, pandangan bagi menyusun strategi,

” perancangan kewangan dan segala persediaan apa yang penting terus mendapat sokongan rakyat untuk pertahankan kerusi dimenangi dan menambah beberapa kerusi lagi,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Mengulas mengenai muktamar itu katanya, setelah sekian lama tidak diadakan secara fizikal akibat Perintah Kawalan Pergerakan akhirnya dapat diadakan kembali.

“Muktamar pada kali ini pertama kali diadakan secara fizikal selepas PKP.

“Diharap dapat berjalan dengan baik dan semua yang terlibat terlindung,” katanya.