Menurut laporan televisyen rasmi negara itu, pertempuran hebat tersebut berlaku di kejiranan Al- Meeze dan dipercayai meragut nyawa tiga anggota pemberontak dan seorang anggota pasukan keselamatan.
Ia berlaku hanya dua hari setelah letupan bom kereta berganda membunuh sekurang-kurangnya 27 orang di Damsyik.
‘Pertempuran ini yang paling dahsyat dan paling dekat dengan ibu pejabat pasukan keselamatan di Damsyik sejak tercetus pemberontakan di Syria,’ kata Encik Rami Abdulrahman, yang mengendalikan kumpulan hak asasi berpangkalan di Britain, Syrian Observatory for Human Rights.
Menurut, 18 askar cedera akibat pertempuran itu, yang tercetus sejurus selepas tengah malam.
Para saksi berkata mereka mendengar bunyi tembakan dan grenad yang dilancarkan roket (RPG) di kawasan al-Mezze selama dua atau tiga jam dan ia hanya berakhir sekitar 4 pagi (waktu tempatan) semalam.
‘Pertempuran berlaku dekat pasar raya Hamada dan bunyi letupan kedengaran di situ dan beberapa kawasan lain di kejiranan ini. Pasukan keselamatan menutup beberapa jalan kecil dan lampu jalan turut dipadam,’ kata seorang suri rumah yang tinggal di kawasan tersebut.
Encik Assad sedang cuba mempertahan dinasti keluarganya yang telah memerintah Syria secara kuku besi lebih 40 tahun dan tidak mengendahkan gesaan kuasa Barat serta negara-negara Barat agar berundur.
Menurut Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), lebih 8,000 orang terbunuh akibat keganasan yang berlaku sejak setahun lalu dan sekitar 23,000 rakyat Syria terpaksa melarikan diri dan meninggalkan rumah mereka.
Pemerintah Syria pula mendakwa sekurang-kurangnya 2,000 anggota pasukan keselamatan negara itu turut menjadi mangsa pemberontakan itu.
Sementara itu, satu pasukan pakar daripada PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam, yang dipimpin pemerintah Syria, telah memulakan misi bagi menilai keperluan bantuan kemanusiaan di negara itu.
Pasukan itu dijangka mengunjungi kawasan terjejas akibat keganasan, termasuk bandar Homs yang bergolak dan bandar Deraa, tempat pemberontakan terhadap Encik Assad bermula.
Utusan Khas PBB-Liga Arab, Encik Kofi Annan, juga dijangka menghantar pasukan pakar ke Damsyik bagi membincangkan usul menghantar pasukan pemantau antarabangsa ke Syria bagi menghentikan keganasan.
Encik Assad, yang sebelum ini mendapat sokongan daripada Russia dan China dalam Majlis Keselamatan PBB, telah menyoal peri perlu menghantar misi sedemikian. — Reuters, AP.





























