SETIU – Tahaluf siyasi adalah strategi yang diambil oleh PAS, yang boleh berubah, berbanding Islam yang menjadi dasar perjuangan, akan terus kekal.
Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, dalam gerakan PAS, terdapat empat perkara yang utama iaitu dasar, kepimpinan, strategi dan pendekatan.
Katanya, ketiga-tiga perkara lain boleh berubah, kecuali dasar PAS.
“yang pertamanya ialah dasar, dasar kita ialah Islam, yang kedua ialah pimpinan, yang ketiga ialah strategi dan yang keempat ialah pendekatan
Daripada empat perkara ini, tiga perkara ia boleh berubah. Pimpinan, pimpinan parti boleh berubah daripada dulu sampai hari ini. Strategi boleh berubah. Pendekatan boleh berubah. Tapi dasar PAS, yang ini tidak berubah,”tegasnya
Beliau berkata, PAS bertahaluf siyasi dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) mrupakan strategi selagi mana tidak melanggar prinsip-prinsip Islam dan selagimana ia menguntungkan Islam.

Oleh itu, dalam menghadapi krisis pelantikan Menteri Besar negeri Selangor yang berlaku sekarang ini, PAS mengolah isu ini supaya kita tidak lari daripada dasarnya.
“Jadi inilah apa yang perlu kita fahami bersama, bagaimana keputusan Jawatankuasa PAS Pusat dan keputusan Majlis Syura Ulama’ dan berikutnya, kerana kita nak mengolah isu ini supaya kita tidak lari daripada dasar kita.
“Kita sebagai sebuah parti Islam, kita terlibat dengan politik, politik kita ialah politik Islam. Politik kita ini bukan saja politik berasaskan kepada akal. Kalau berasaskan kepada akal kita pakat langgar gitu je,”jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam program santai bersma pemimpin pemuda pada Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang sedang berlangsung di Merang dekat sini, bermula semalam, Jumaat 29 Ogos.
Sehubungan itu, beliau yakin, kemelut jawatan Menteri Besar Selangor akan dapat diselesaikan kerana PAS mengambil pendekatan syara’.
“Sebab itulah kita kena tengok nas syara’. Nak turunkan Tan Sri Khalid sebagai MB Selangor ini atas asas apa? Kena atau tidak pada sisi syara’?
“Jadi di sinilah kita lihat Majlis Syura Ulama’ membincangkan berkait dengan amanah kepimpinan yang merupakan satu perkara yang sangat besar, membincangkan perkara berkait dengan aspek kezaliman.
“Orang yang kena zalim kita kena bela. Jadi disinilah kita sebagai sebuah parti Islam kita tidak boleh lari daripada prinsip Islam. Itu yang kita jaga, itu yang kita pelihara.
“Sebab itulah apa yang berlaku saya sangat yakin bahawa selagimana PAS ini jaga dasar Islamnya dengan sistem yang ada di dalam parti kita yang dikawal oleh Majlis Syura Ulama’ in shaa Allah isu kemelut MB Selangor ini akan dapat diselesaikan,” ujar beliau.




























