Krisis MB Selangor Perlu Kefahaman Yang Jelas

785

KUALA NERUS – Krisis penggantian Menteri Besar Selangor yang belum lagi selesai sehingga kini, bukan sahaja mencetuskan percanggahan pendapat antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, bahkan disifatkan menimbulkan beberapa isu dalaman PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat, antara isu yang timbul dalam PAS adalah berkait dengan ‘kuasa’ yang tertinggi dalam parti itu.

“sebenarnya krisis di Selangor ini, kita bukan hanya melihat, kita tengok bahawa dia bukan hanya untuk kita selesaikan krisis di Selangor, tapi ia telah menimbulkan beberapa isu dalaman dalam parti PAS,

“dan benda ini telah dibincang secara terbuka dan msih lagi belum diputuskan,kerana kita tidak buat lagi mesyuarat di peringkat tertinggi.

“Antara isu yg disebut ialah mengenai isu kuasa, pengagihan kuasa syura, kuasa muktamar itu telah disentuh mengenai isu wala’ dan ketaatan kepada Presiden,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS negeri Terengganu di Kompleks Tarbiah PAS Kuala Nerus dekat sini pada Sabtu, 16 Ogos.

IMG-20140816-WA0024 (2)Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, isu-isu terbabit adalah isu besar yang memerlukan satu kefahaman jelas dikalangan ahli-ahli PAS.

Dari segi hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, beliau mengakui, krisis MB Selangor adalah isu yang agak getir.

Namun begitu, katanya, selaras dengan keputusan Majlis Syura Ulamak, PAS masih komited dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, PKR dan DAP pernah sebelum ini bercanggah dengan PAS dalam beberapa perkara, tetapi PAS tidak menuduh kedua-dua rakan tersebut sebagai khianat.

“Bila kita bercanggah dengan kawan-kawan kita dalam Pakatan Rakyat, adakah bercanggah itu dikira khianat? (Sedangkan) Pernah DAP bercanggah dengan kita, kita tak kata pun DAP khianat. Pernah PKR bercanggah dengan kita, kita tak kata pun PKR khianat.

“Hari ini kita tidak sekata dengan mereka, adakah dengan sebab tidak sekata dah jadi khianat? Kalau begitu mudah sangat lah………Kita masih lagi dalam proses perbincangan, walaupun agak getir isu kali ini, tapi kita masih lagi, bahkan Syura telah membuat ketetapan terakhir bahawa kita tetap bersama PR,”jelasnya.

Justeru beliau memberikan nasihat dan peringatan, ahli-ahli PAS sendiri perlu mengambil pengajaran dari krisis politik yang berlaku di negeri Selangor.

“dikalangan ahli-ahli PAS sendiri (perlu diingati) apa-apa yang kita buat mesti selari dengan apa yang Syura (Majlis Syura Ulama) telah tetapkan.

“ini isu yang berkait, itu saya sebut dia apabila ada dari ahli sendiri yang timbulkan isu ini, ia akan berkait kepada isu isu dalaman, yang saya sebut tadi dengan (perlunya) kepatuhan kepada arahan Presiden (dan) arahan Syura,”tegasnya