Kontraktor China Lebih Dipercayai Umno Berbanding Tempatan

1760

PAS Terengganu melahirkan rasa dukacita terutama kepada kontraktor-kontraktor tempatan yang mutakhir dilihat sebagai tidak dapat memenangi hati pimpinan Umno bagi menjalankan projek-projek mega buka sahaja di negeri Terengganu malah juga di seluruh Malaysia.

Rasa kekesalan PAS ini lebih pedih apabila melihat angka bagi nilai projek-projek yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dua hari lepas memaklumkan kepada Dewan Negara, sebanyak 140 projek yang bernilai RM38 billion telah dianugerahkan kepada kontraktor dari China semenjak 2010.

Saya ingin mengecilkan skop penulisan ini dengan hanya menumpukan kepada projek-projek yang berada di dalam Terengganu sahaja. Beberapa projek seperti Projek Bekalan Air di Kemaman, telah diserahkan kepada sebuah syarikat daripada China, Beijing Enterprise Water, dengan cara kontrak runding terus, menggunakan cara bayaran tertangguh bernilai RM500 juta. Saya tidak mengetahui apakah sistem yang terlalu canggih yang digunakan oleh China, sehingga kontraktor tempatan tidak diberikan tanggungjawab sebagai kontraktor utama bagi membina Projek Bekalan Air ini.

Nun jauh berpuluh tahun yang lalu, 1990, kerajaan negeri juga telah mengadakan perjanjian dengan Syarikat China Anshan Corporation dengan perjanjian pajakan selama 21 tahun bagi lesen melombong bijih di Bukit Besi yang akhirnya kerajaan Negeri disaman oleh Anshan kerana didakwa melanggar terma perjanjian. Sehingga kini, kita tidak tahu status saman itu.

Manakala dengan kontrak baru tawaran melombong kepada syarikat-syarikat lain termasuk beberapa syarikat dari China, akhirnya sekitar tahun 2015, menyaksikan Bukit Besi menjadi gondol kerana pembalakan yang beralasan kepada perlombongan yang tidak mengikut peraturan. Malah lebih teruk dari itu, banyak hidupan sungai juga turut musnah. Paling malang, dalam jawapan di DUN, kerajaan hanya mengutip kira-kira RM800 ribu sahaja bagi tempoh tujuh tahun perlombongan berjalan daripada 13 buah syarikat yang melabur.

kontrak Terengganu1Oleh kerana kegagalan projek perlombongan Bukit Besi ini, Kilang Eastern Steel yang dimiliki bersama oleh Hiap Teck Venture Berhad dengan Shougang Group of China, yang terletak di Kemaman itu, dikatakan tidak dapat beroperasi. Sedangkan ianya dahulu dikatakan kononnya sebagai penyelamat kepada pekerja-pekerja Perwaja Steel yang diberhentikan.

Bagi projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PRIMA) di Kijal, kerajaan Negeri telahpun mencadangkan untuk menganugerahkan projek tersebut kepada syarikat pembinaan dari China, Sany Group bagi membina sebanyak 330 buah PRIMA yang dianggarkan berharga RM100 ribu sehingga RM400 ribu sebuah bermula bulan ini.

Tidakkah ianya memalukan kontraktor-kontraktor perumahan di Terengganu apabila projek perumahan yang tidak memerlukan teknologi tinggi ini juga diserahkan kepada Syarikat daripada China? Seterusnya Menteri Besar menambah pilu kontraktor-kontraktor tempatan dengan memaklumkan akan memberikan semua projek PRIMA kepada Sany Group sekiranya beliau berpuashati dengan projek pertama ini.

PAS Terengganu tidak mahu kekayaan negeri ini dibolot oleh golongan luar yang menyebabkan rakyat sendiri menjadi merempat. Ianya sudah banyak kali berlaku seperti wang royalti negeri digunakan oleh negeri lain. PAS sedia maklum, dengan adanya projek ini, akan wujudnya peluang pekerjaan kepada rakyat negeri, tetapi janji itu sangat meragukan apabila pendedahan Adun Tepoh di dalam Sidang Dun bulan lepas membuktikan bahawa jumlah pekerjaan yang disediakan hanyalah 200 lebih sahaja berbanding dengan janji sebanyak 41 ribu peluang kerja.

Disamping itu juga, PAS mendesak agar kontraktor tempatan mengetuai projek-projek ini dan bukan hanya menjadi ‘sub’ sahaja kepada kontraktor-kontraktor dari China. Lihat sahaja contoh yang diberikan, seperti projek perumahan yang tidak memerlukan teknologi yang tinggi juga diserahkan kepada kontraktor China. PAS juga melahirkan kebimbangan akan kehadiran pekerja-pekerja dari China kerana kos mereka itu sangat murah, boleh juga membawa kepada satu lagi bentuk masalah sosial. PAS Terengganu merasa hairan, kenapa terlalu banyak syarikat daripada China ditawarkan projek-projek ini?

Maka PAS Terengganu mendesak agar kerajaan negeri menimbang semula projek-projek yang tidak memerlukan keupayaan teknologi yang tinggi, agar diserahkan kepada kontraktor-kontraktor tempatan yang berkemampuan. Ataupun mengadakan satu bentuk persefahaman dengan negara-negara Islam lain yang berkemampuan bagi menjayakan projek-projek ini.

Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
18 Rabiulawwal 1438 bersamaan 18 Disember 2016