Islam ialah agama yang sempurna, dan menjadi petunjuk Allah Pencipta alam. Ajarannya yang sempurna memberi petunjuk kepada seluruh manusia dalam menetapkan sempadan fitrahnya, agar terpelihara daripada perkara negatif yang merosakkan kehidupan. Hal ini termasuklah dalam segala urusannya untuk melaksanakan perintah Allah yang ditetapkan kepada mereka di alam dunia.
Antara tugas manusia ialah melaksanakan khilafah (politik) untuk mentadbir urusan dunia dengan petunjuk Islam (al-din), berkonsepkan adanya kepimpinan negara dan jemaah Islam serta ketaatan kepadanya.
Bagi melaksanakan ketaatan tersebut, Islam menetapkan sempadan ketaatan kepada kepimpinan negara dan jemaah apabila tidak ada sebuah negara. Dalam melaksanakan ketetapan Allah kepada kepimpinan, dinyatakan sifat kepimpinan Islam melalui firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada per5buatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]
Ayat ini menegaskan konsep ibadah terhadap mereka yang berkuasa, bercirikan perhambaan kepada Allah melalui perintah bersolat yang diwajibkan menghadap-Nya pada setiap waktu sepertimana yang diwajibkan kepada seluruh rakyat. Kemudiannya, diikuti dengan menunaikan kewajipan bermasyarakat dalam aspek ekonomi serta politik memerintah berkonsepkan amar ma‘ruf dan nahi mungkar yang akan diterima balasan mengikut seluruh amalannya pada Hari Akhirat kelak.
Konsep ini ditafsirkan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain dan Sunnah Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulu al-amri antara kamu. Kemudian, jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]
Untuk memastikan penetapan hukum secara adil tersebut dapat dijalankan dengan baik, maka diperlukan ketaatan secara mutlak (tiada pilihan) kepada pihak yang menetapkan hukum itu.
Ayat ini memerintahkan umat Islam agar mentaati keputusan hukum secara hierarki, bermula daripada penetapan hukum Allah yang menyeru seluruh orang beriman agar mentaati segala perintah Allah sepertimana yang terkandung dalam al-Quran, dan mentaati pula seluruh perintah Rasul, iaitu Nabi Muhammad SAW yang dilantik oleh Allah dengan sifat maksum. Demikian juga, hendaklah mentaati ketetapan-ketetapan yang dikeluarkan oleh ulu al-amri, iaitu para pemimpin yang memegang kekuasaan antara umat Islam selama semua ketetapan itu tidak melanggar ketentuan Allah dan Rasul-Nya.
Kemudian, jika umat Islam berbeza pendapat tentang sesuatu masalah yang tidak dapat disepakati, maka umat Islam hendaklah kembali kepada nilai dan jiwa firman Allah, yakni al-Quran, begitu juga nilai dan jiwa tuntunan Rasul dalam bentuk Sunnahnya, sebagai bukti umat Islam benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama bagi umat Islam dan lebih baik akibatnya, sesungguhnya baik untuk kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat.
Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan terbahagi kepada dua bentuk, iaitu secara mutlak yang tidak berbelah bahagi secara ibadah, dan secara bersyarat yang tidak bercanggah dengan hukum Allah dan Rasul, juga secara ibadah.
Perkara ini dihuraikan dalam banyak kisah yang menceritakan perjuangan para rasul menentang para pemimpin yang dinamakan raja atau golongan al-mala’. Mereka berlagak kononnya berkuasa secara mutlak seolah-olah mereka mempunyai kekuasaan seperti Allah Yang Maha Berkuasa.
Mereka seperti Firaun, Namrud dan al-mala’ yang dilaknat oleh Allah. Setelah itu, mereka dibinasakan dengan kehancuran kuasa dan bala tentera pada penghujung hayat mereka setelah diberi peluang yang panjang supaya bertaubat.
Perintah ini diwajibkan secara khusus kepada umat Islam, sepertimana firman Allah SWT:
… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ …٢
“…Bertolong-tolonglah dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan jangan bertolong-tolong dalam perkara dosa dan permusuhan…” [Surah al-Ma’idah: 2]
Apabila tidak ada sebuah negara, maka wajib adanya satu kumpulan yang memperjuangkan Islam daripada kalangan umat. Firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [Surah Ali ‘Imran: 104]
Malah, juga dinyatakan dalam banyak Sunnah Rasulullah SAW. Antaranya, sabda Baginda:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ.
“Wajib ke atas seorang Muslim dengar dan taat (kepada perintah pemimpin) dalam perkara yang disukai (dipersetujui) atau yang dibenci, melainkan jika diperintahkan kepada maksiat (melakukan perkara yang haram). Apabila diperintahkan melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar (kepatuhan) dan ketaatan.” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, no. 7144, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar]
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ خلَعَ يَدًا مِنْ طَاعَةٍ لَقِيَ اللَّه يَوْم القيامَةِ ولا حُجَّةَ لَهُ، وَمَنْ ماتَ وَلَيْسَ في عُنُقِهِ بَيْعَةٌ مَاتَ مِيتةً جَاهِليَّةً.
“Sesiapa yang mencabut tangannya (melepaskan dirinya) daripada ketaatan, maka dia akan bertemu Allah pada Hari Kiamat tanpa sebarang hujah (alasan). Dan sesiapa yang mati, sedangkan di lehernya tiada lagi ikatan baiah (ketaatan kepada pemimpin yang sah), maka dia mati dalam keadaan jahiliah.” [Hadis riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, no. 1851, daripada ‘Abdullah bin ‘Umar]
Hadis ini menyatakan kewajipan memberikan ketaatan kepada negara dan jemaah, apabila ketiadaan sebuah negara.
Maka, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewajibkan ikatan baiah ketaatan, dengan syarat yang bukan maksiat, ke atas semua pemimpin dan calon yang bertanding, supaya ketaatan tersebut berpegang kepada prinsip Islam.
PAS juga mengharamkan ketaatan dalam perkara haram seperti salah laku, rasuah dan sebagainya, dan tetap berpegang kepada prinsip walaupun dikalahkan dalam pilihan raya, hilang wakil rakyatnya, atau jatuh sebuah kerajaan.
Jangan ada lagi dalam kalangan PAS yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang berdasarkan al-Quran dan hadis, lalu merujuk dan merayu kepada musuh Islam yang nyata.
Rasulullah SAW telah mengambil tindakan disiplin yang keras terhadap para sahabat yang melakukan kesalahan yang besar seperti Abdullah bin Abi Sarah (penulis wahyu) yang murtad, dan Hatib bin Abi Balta‘ah yang membocorkan rahsia. Mereka menerima hukuman bunuh kerana pengkhianatan dan juga melakukan kesalahan-kesalahan lain.
Ramai dalam kalangan mereka itu yang bertaubat lalu diberikan keampunan. Akan tetapi, ada yang tidak mahu bertaubat dan merasa tidak bersalah, lalu terlanjur lebih jauh.
Kelak mereka akan termasuk dalam kalangan yang dinyatakan oleh Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُواْ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓاْ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوٓاْ أَن يَكۡفُرُواْ بِهِۦۖ وَيُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمۡ ضَلَٰلَۢا بَعِيدٗا ٦٠ وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيۡتَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودٗا ٦١
“Adakah kamu tidak memerhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. (60) Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul,’ nescaya kamu lihat orang-orang munafiq menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kamu. (61)” [Surah al-Nisa’: 60-61]
Setelah dijelaskan sikap yang diwajibkan ke atas orang-orang beriman untuk mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang diamanahkan, masih terdapat pihak yang membuat pengaduan kepada pihak yang salah. Padahal mereka mengaku telah beriman kepada al-Quran dan Sunnah, tetapi mereka masih menginginkan ketetapan hukum daripada taghut (yang melampaui batas Allah), seperti mereka yang nyata terlibat dengan salah laku, rasuah dan penipuan.
Padahal mereka telah diperintahkan oleh Allah Yang Maha Kuasa melalui kitab yang diturunkan-Nya untuk mengingkari taghut tersebut. Mereka bersikap sedemikian kerana telah dipengaruhi oleh syaitan yang bermaksud menyesatkan mereka sejauh-jauhnya dari jalan Allah dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.
Mereka bukan sekadar enggan menjadikan Allah dan Rasul sebagai keputusan terakhir, bahkan mereka bertindak lebih jauh daripada itu. Apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah tunduk dan patuh kepada hukum dan petunjuk yang telah diturunkan oleh Allah, serta kepada keputusan Rasul,” nescaya didapati mereka menghalangi manusia dengan sekeras-kerasnya daripada menerima keputusan yang berprinsipkan aqidah yang telah diputuskan oleh kepimpinan yang menguruskannya.
Sebab turunnya ayat 60 daripada Surah al-Nisa’, apabila ada dua pihak yang bertelingkah itu berselisih untuk mencari penyelesaian yang sama. Mereka memilih sama ada mengadukan masalah kepada Rasulullah SAW yang adil atau kepada Ka‘ab bin al-Asyraf, pemimpin Yahudi yang beramal dengan rasuah, melakukan penipuan dan kezaliman.
Walaupun peristiwa itu berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan ayat yang diturunkan dengan sebabnya, ia tetap menjadi pengajaran dan iktibar sehingga Hari Kiamat.
Maka, semua ahli PAS di semua peringkat diwajibkan taat kepada arahan parti dan setia kepada baiah yang diucapkan, yang mewajibkan setia kepada Allah dan Rasul, serta pemimpin yang diucapkan dalam baiah.
Pemimpin PAS pula wajib menunaikan amanah dengan bertindak dan menghukum secara berjemaah, bukan secara bersendirian. Pada masa yang sama, dengan mengamalkan syahadah dan tabayyun terhadap kesalahan yang dilakukan melalui saksi dalaman dan siasatan yang adil daripada semua pihak yang beramanah, bukan satu pihak sahaja.
Segala perkara hendaklah dikembalikan semula kepada ucapan baiah yang dilafazkan, yang terikat dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul yang paling tinggi. Bahkan, lafaz ini tidak terikat dengan sesiapa pun, termasuk setinggi-tinggi institusi istana kerana aqidah perjuangan yang dipegang menegaskan kewajipan menegakkan Islam dengan meletakkan Allah dan Rasul pada kedudukan yang paling tinggi mengatasi segala-galanya.
PAS tetap berpegang kepada arahan Allah yang menjadi sifat kepada parti Islam, sepertimana firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَٰلَٰتِ ٱللَّهِ وَيَخۡشَوۡنَهُۥ وَلَا يَخۡشَوۡنَ أَحَدًا إِلَّا ٱللَّهَۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ حَسِيبٗا ٣٩
“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada merasa takut kepada seorang (pun) selain kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.” [Surah al-Ahzab: 39]
Firman Allah SWT:
وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَـٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma‘ruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [Surah al-Tawbah: 71]
Maka, menuntut rahmat Allah adalah wajib diutamakan daripada kepentingan lain yang dimurkai-Nya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rajab 1447 / 15 Januari 2026
[Bil: 5 / 2026]






























