Konflik selesai; PAS mampu Ganti Umno!

798

Pertemuan dan penyelesaian penuh bermakna antara YAB Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Harun Din, Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa pastinya akan menjernihkan keadaan dan memadamkan fitnah yang selama ini membakar dan meliar di dalam gerakan Islam ini. 

Masyarakat khususnya yang beragama Islam melihat bahawa PAS mampu menjadi contoh kepada semua parti politik bagaimana pengurusan konflik boleh diselesaikan dengan baik dan mudah tanpa persengketaan yang panjang. Meskipun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam beberapa perkara, akhirnya ia mampu diselesaikan di meja rundingan dalam pertemuan penuh mahabbah. Ternyata segala tohmahan liar segelintir golongan bahawa kemelut dalaman PAS tidak akan berkesudahan adalah suatu tuduhan tidak berasas.

PAS membuktikan masih menjunjung tinggi nilai ukhwah, perpaduan dan persaudaraan yang bertunjangkan kepada akidah perjuangan Islam. Nilai ini terus bertahan dan tidak akan luput sejak ia ditubuhkan dan selama mana hayat PAS di persada tanah air ini. 

DPP Malaysia percaya penyelesaian baik yang ditunjukkan antara pimpinan PAS membuktikan kepemimpinan PAS berjiwa besar dan sanggup berlapang dada bagi menyelesaikan permasalahan mereka secara baik. PAS juga dilihat mampu menjadi pengganti UMNO-BN yang sudah semakin mereput menanti ajal. Insyaallah, keteladanan yang terpuji oleh kepemimpinan tertinggi PAS mampu menjadi bekal buat semua ahli dan pendokong PAS bekerja bersungguh-sungguh  bagi memastikan kemenangan dalam PRU ke 13.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia