Khidmat Kebajikan HARAP 3.5

2461

Pengunjung-pengunjung yang mengunjungi tapak Himpunan Harapan Semua (HARAP 3.5) di Kampung Raja, Besut adalah dijemput untuk mendapatkan pelbagai khidmat kebajikan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh Unit Kebajikan HARAP sepanjang program ini berlangsung.

Bermula jam 9 pagi Sabtu 25 Februari 2017, bertempat di tapak Himpunan, khidmat pemeriksaan kesihatan dan rawatan perubatan percuma kendalian tenaga perubatan dari Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) disediakan kepada pengunjung sehingga jam 3 petang.

Bagi pengunjung yang berminat untuk mendapatkan rawatan dari perawat Darus Syifa’, anda semua tak akan dihampakan. Dijemput semua yang berhajat untuk mendapatkan rawatan dari perawat-perawat Darus Syifa’ yang juga akan berkhidmat di tapak himpunan juga pada hari Sabtu 25 Februari 2017.

Di samping program kebajikan dan kemasyarakatan yang disediakan di tapak himpunan, khidmat kesihatan juga bergerak dari kampung ke kampung dalam program ziarah pesakit dari rumah ke rumah yang melibatkan 12 Peti Undi di seluruh DUN Kota Putera pada petang Jumaat 24 Februari 2017.

Tambahan kepada itu, program ziarah kemasyarakatan yang melibatkan pimpinan PAS Negeri Terengganu dengan mensasarkan beberapa kelompok ahli masyarakat akan bergerak ke 60 sasaran ziarah di seluruh Dewan Undangan Negeri Kota Putera selepas solat Jumaat 24 Februari 2017. Pergerakan rombongan ziarah ini dibantu serta disokong oleh Kelab Kembara Lasak 4×4 Kawasan Besut yang dikenali sebagai Evergreen.

Unit Kebajikan dan Kecemasan dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu juga menyediakan khidmat ambulan sebagai persedian berhadapan dengan kes-kes kecemasan.

Bagi pihak Unit Kebajikan HARAP serta Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, saya merakamkan penghargaan serta terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan slot kebajikan dan kemasyarakatan sepanjang himpunan ini.

Dr Azman Ibrahim
Ketua Unit Kebajikan HARAP 3.5 merangkap Ketua Lujnah Kebajikan PAS Terengganu.
20 Februari 2017