Walau pun tanpa sebarang pengumuman dibuat, pemilihan semula Khalid yang dibuat melalui prosedur rahsia telah disahkan oleh dua pegawai Hamas.
Pemilihan telah dijalankan pada lewat petang Isnin meliputi semua kumpulan termasuk di para aktivis di Gaza, Tebing Barat, ahli-ahli dalam buangan di luar Palestin dan kelompok ahli-ahli Hamas yang dipenjarakan Israel.
Penjumlahan dan penentuan keputusan pemilihan tersebut telah dibuat di Kaherah pada petang Isnin 1 April.
Khalid yang kini dilaporkan berpengkalan di Qatar, mendapat sokongan pemerintah negara-negara serantau berhampiran termasuk Qatar, Turki dan Mesir.
Pemilihan semula beliau dapat memulihkan usaha perdamaian yang terhenti antara Hamas dan saingan politiknya kumpulan Mahmoud Abbas, Presiden Palestin yang disokong pihak Barat berpangkalan di Ramallah, Tebing Barat.
Minggu lepas, sebagaimana dilaporkan, Emir Qatar mencadangkan satu persidangan perdamaian di Mesir yang diadakan dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk merangka sebuah jadual bagi membentuk kerajaan sementara dan mengadakan pilihan raya.




























