Keutamaan Mandat Rakyat, Agenda Tunjang Kerajaan

46

Segala usaha untuk kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang parti menjadi keutamaan bagi wakil rakyat yang telah dipilih dalam PRU lalu.
Justeru jika ada usaha-usaha untuk mencapai kepentingan selain itu adalah tindakan yang seakan memperjudikan mandat rakyat.
Berkaitan Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani oleh gabungan-gabungan parti dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mewajibkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat dari parti masing-masing mengundi usul-usul tertentu di Dewan Rakyat saya berpandangan bahawa :
1- Saya menyokong ketegasan yang dijelaskan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin agar perlembagaan tidak semudahnya disalah guna demi untuk mengekang pendirian dalam kalangan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
2- Langkah tersebut seakan meragut keharmonian demokrasi yang dipertahankan selama ini apabila perjanjian itu jelas melindungi kepentingan pihak tertentu.
3- Secara jelas, Undang-undang anti lompat parti tidak menghalang hak dan kebebasan Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengundi di Dewan Rakyat maka kandungan perjanjian itu memberikan gambaran desakan secara tidak langsung berlaku.
4- Institusi Parlimen adalah simbol kedaulatan perlembagaan untuk dipertahankan oleh tangan-tangan yang menjadikan kepentingan tertentu sekaligus meragut mandat rakyat dalam pilihanraya.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara (per. 32), yang secara undang-undangnya menganggotai tiga badan kerajaan, iaitu badan Perundangan (Legislatif), Badan Pemerintah (Eksekutif) dan Badan Kehakiman (Judisiari). Perkara 44 meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai satu daripada tiga unsur Parlimen.
Institusi Raja telah diterima sebagai simbol perpaduan. Menerusi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 153 menjaga kedudukan orang-orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain.
5- Sepertimana yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agung untuk Perdana Menteri perlu menyatakan bagaimana beliau dilantik dan ianya disambut dengan keberanian Perdana Menteri melalui Usul Percaya dalam persidangan Parlimen maka tidak perlu wujud perjanjian seumpamam ini lagi.
6- Kerajaan perlu lebih terbuka serta bersedia membawa perubahan untuk negara terutamanya keperluan rakyat dari segi kos sara hidup, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan dan tadbir urus yang menerapkan integriti.
7- Ahli Dewan Rakyat berhak sepenuhnya menyatakan sokongan tanpa dicemari unsur ugutan atau pelanggaran mana-mana perjanjian yang dibuat untuk memastikan kepentingan tertentu terjaga.
8- Harapan saya agar kerajaan terus bergerak untuk berkhidmat kepada rakyat serta buktikan kerajaan dibawah Perdana Menteri ke-10 ini adalah kerajaan pilihan rakyat.
YB Muhammad Ismi bin Mat Taib
Ahli Parlimen Parit
18 Disember 2022 / 24 Jamadil Awal 1444
LIKE | FOLLOW | SHARE
#UstazIsmi
#MPParit
#PrihatinRakyat
#KhidmatUntukSemua