Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIP Yang Ditembak Kendali Kes Sensitif ‘Aqidah’?

1755

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek yang maut ditembak tiga lelaki dilaporkan sedang mengendalikan tiga kes besar melibatkan ‘aqidah’ umat Islam.

Pada 28 September lalu Allahyarham mengetua serbuan menahan seorang imam sebuah masjid di Ladang RISDA Pekoti Timur, Ulu Keratong kerana disyaki mengamalkan ajaran Syiah.

Dalam serbuan itu turut dirampas beberapa buku berkaitan Syiah termasuk batu turbah serta sehelai kain kapan yang tertulis doa dan ayat suci al-Quran.

IMG-20131110-WA0027
Sebelum itu pada 4 April, pasukan yang diketuai oleh Allahyarham juga menyerbu sebuah rumah di Lorong Pandan Damai, Kuantan dan menahan Harun Mat Saat, 46 yang mendakwa dirinya sebagai ‘Tuhan Harun’.

Harun mengetuai kumpulan ajaran sesat dipercayai menjalankan ritual bermain muzik berentak rock pada waktu Maghrib sambil menyanyi lagu dengan lirik memuja dirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata Allahyarham Ahmad Rafli Abdul Malek dipercayai ditembak tiga das dari jarak dekat oleh sekumpulan lelaki.

Allahyarham Dilaporkan ditembak di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira pukul 2.30 petang Ahad oleh mereka yang datang menaiki kereta Wira Aeroback berwarna putih.

Beliau mati akibat tembakan itu di tempat kejadian dan dilaporkan seorang daripada penjenayah dikatakan memakai jubah hitam.

“Tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu,” kata Superintendan Abdul Aziz Ahmad .

“Suspek juga dipercayai memakai pakaian berwarna hitam dan berkopiah,” katanya dan menambah polis masih menyiasat kes itu.

Satu lagi kes yang dikendalikan oleh Allahyarham adalah berkaitan kegiatan maksiat kelab malam di Kuantan.